Kanak-kanak kena culik pada 1991 masih hidup
SAN FRANCISCO: Seorang kanak-kanak di California yang diculik ketika berusia 11 tahun pada 1991, ditemui masih hidup dan menghabiskan 18 tahun usianya tinggal di bangsal dan khemah di belakang rumah penculiknya, seorang lelaki pesalah rogol, kata polis, semalam.
Jaycee Dugard gagal ditemui sejak diculik dua lelaki yang menaiki sebuah kereta sedan di sebatang jalan, ketika menuju ke perhentian bas berhampiran South Lake Tahoe, di timur San Francisco pada 10 Jun 1991.
Dugard yang kini berusia 29 tahun, ditemui apabila pegawai parol penculiknya berasa curiga dan mula memeriksa rumah lelaki itu berhampiran bandar Antioch, 160 kilometer ke barat daya dari jalan beliau diculik.
Polis berkata, penyiasat menemui 'ruang tersembunyi di belakang rumah' pesalah seks berdaftar dan pesalah rogol, Phillip Craig Garrido, tempat Dugard dan dua orang anaknya dikurung di bangsal dan khemah.
"Beliau sihat, tetapi tinggal di belakang rumah selama 18 tahun sudah pasti memberi kesan kepadanya," kata pegawai syerif rendah El Dorado County, Fred Kollar, dalam satu sidang akhbar.
Sementara itu bapa tiri Dugard, Carl Probyn memberitahu stesen televisyen di sini, beliau dan isterinya 'menangis kira-kira 10 minit' selepas diberitahu pihak berkuasa bahawa anak mereka masih hidup.
Garrido, 58, dan isterinya Nancy, 54, ditahan berikutan penculikan Dugard dan pendakwa berkata mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah petang esok.
Pihak berkuasa berkata Garrido disyaki sebagai bapa dua anak perempuan Dugard berusia 11 dan 15 tahun.
"Tidak seorang pun daripada kanak-kanak itu pergi ke sekolah atau dibawa berjumpa doktor. Mereka hidup dalam keadaan benar-benar terasing," kata Kollar.
Walaupun kes itu tidak pernah ditutup sejak 18 tahun lalu, polis tidak pernah menemui kereta sedan berwarna kelabu yang digunakan untuk menculik Dugard ataupun menemui mangsa sehingga kelmarin, apabila Garrido cuba memasuki kampus Universiti California, Berkeley bersama dua remaja untuk mengedarkan risalah keagamaan.
Seorang pegawai polis kampus yang mendapati cara Garrido berinteraksi dengan remaja itu mencurigakan menghubungi pegawai parolnya.
Ketika lawatan, Garrido memperkenalkan isteri, dua remaja perempuan itu dan seorang wanita dikenali sebagai Allissa yang kemudian disahkan sebagai Dugard.
Pihak berkuasa berkata Garrido pernah dipenjarakan di Nevada pada 1971 atas kesalahan menculik dan merogol. Beliau disifatkan lelaki ganjil oleh jirannya kerana mengadakan upacara keagamaan di khemah dan mencipta kaedah mengawal bunyi menggunakan minda. – Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan