KUALA LUMPUR: Gara-gara mengaku membela hantu raya, seorang lelaki ditumbuk rakan sekerjanya yang seolah-olah dirasuk selepas mendakwa sering diganggu lembaga halus menyerupai dirinya.
Difahamkan, lelaki terbabit menyerang rakannya itu selepas mangsa mengaku membela makhluk terbabit.
Sebaik pengakuan itu, lelaki terbabit yang berasakan dirinya benar-benar diganggu hantu raya dibela rakannya itu menumbuk mangsa beberapa kali.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa yang berusia 50-an mengambil rakannya itu di sebuah flet di Kepong di sini dengan menaiki kereta untuk pergi ke tempat kerja bersama-sama.
Menurut sumber, sebaik menaiki kereta berkenaan, lelaki terbabit tiba-tiba mengadu yang dia tidak nyenyak tidur malam kononnya diganggu lembaga halus.
“Lelaki itu turut memberitahu lembaga berkenaan adalah hantu raya yang menyerupai wajah dan fizikal mangsa,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, selain memaklumkan hal itu, lelaki terbabit turut menuduh mangsa beberapa kali yang dia ada membela hantu raya.
Mangsa yang terpinga-pinga dengan kejadian itu dan malas melayan rakannya itu kemudian mengakui membela hantu raya.
Bagaimanapun, selepas memberi jawapan sedemikian, lelaki terbabit yang duduk di belakang terus menumbuk pipi mangsa sebelum keluar dari kenderaan itu.
Menurut sumber, lelaki terbabit cuba pula membuka pintu kereta di bahagian pemandu, namun mangsa sempat mengunci pintu kenderaan berkenaan.
“Lelaki yang gagal menyerang mangsa berlalu dari tempat kejadian sebelum mangsa yang khuatir dengan keselamatan dirinya membuat laporan polis,” katanya.
ye ke?cm x caye jew.
BalasPadam