SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini hari ini dipercayai akibat terjatuh dari bangunan itu.
Mayat Teo, 30-an ditemui dalam keadaan terlungkup pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Sehingga berita ini ditulis, mayat Teo masih belum dibawa keluar dari tempat kejadian dan polis sedang menjalankan siasatan.
Teo, pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wan, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.
Yong merupakan antara tujuh anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota Exco yang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri itu dan semalam SPRM menyerbu pejabat Yong di bangunan Sekretariat Negeri di sini untuk mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull dalam sidang media di tempat kejadian Khamis berkata Teo datang ke pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam pada 5 petang semalam untuk memberi keterangan dan dibenarkan pulang pada pukul 3.45 pagi ini.
Beliau berkata sebelum pulang Teo berjanji akan datang semula ke pejabat SPRM Selangor untuk membawa beberapa dokumen bagi membantu siasatan.
"Beliau (Teo) bagaimanapun berkata beliau ingin berehat dulu di bilik tetamu pejabat SPRM dan SPRM membenarkannya. Pada pukul 6 pagi dia masih kelihatan tidur di atas sofa dan selepas itu SPRM tidak melihat beliau lagi.
"Semasa siasatan dilakukan, mangsa memberi kerjasama sepenuhnya kerana dia bukan orang yang dituduh tetapi dia adalah saksi," katanya.
Mohd Shukri berkata setelah dimaklumkan oleh orang ramai mengenai penemuan mayat Teo di tingkat lima, SPRM terus membuat laporan polis.
Mengenai tempoh lama yang diambil pihaknya untuk menjalankan siasatan, Mohd Shukri berkata ia adalah prosedur biasa dalam setiap penyiasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya itu.
Sehingga berita ini dikeluarkan, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penemuan mayat Teo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan