Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my
PETALING JAYA, Khamis, 14 Mei 2009: Sebuah syarikat telekomunikasi terpaksa merobohkan pemancar gelombang telekomunikasi di atas rumah kedai di Kampung Seri Setia di sini kelmarin kerana tiada permit sah dan beroperasi secara haram.
Pemancar setinggi tiga meter lengkap dua tiang penyokong serta antena dan piring gelombang itu dikesan beroperasi sejak tahun lalu.
Penolong Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ismathinoon Abd Rahman, berkata berdasarkan aduan diterima daripada penduduk pada 4 September lalu, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas struktur terbabit dan mendapatinya ia dibina tanpa sebarang kelulusan.
Katanya, kedudukannya dalam lingkungan kawasan perumahan penduduk jelas menyalahi garis panduan mendirikan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi pihak berkuasa tempatan yang boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai.
“Struktur ini kita dapati memang tidak mempunyai permit kelulusan yang sah dan keadaannya terletak di kawasan perumahan penduduk jelas melanggar garis panduan yang sudah kita tetapkan.
“Ini kerana kesan radiasi dihasilkan pemancar itu dikhuatiri boleh menjejaskan tahap kesihatan penduduk kerana ia boleh menjadi punca berlakunya kanser.
“Jadi, pada penghujung tahun lalu juga satu notis meroboh struktur itu sudah dihantar kepada syarikat terbabit, tetapi tindakan penguatkuasaan terpaksa ditangguhkan apabila syarikat itu mengemukakan satu notis rayuan penangguhan meroboh struktur itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Menurutnya, kerja merobohkan struktur itu dilakukan sendiri pihak syarikat terbabit pada petang kelmarin selepas pihaknya menghantar satu notis roboh sepatutnya dilaksanakan semalam.
“Petang kelmarin, kita ada berjumpa pihak syarikat itu bagi memaklumkan mengenai tindakan meroboh struktur terbabit, bagaimanapun mereka meminta agar ia dilakukan oleh pihak mereka sendiri.
“Jadi, sehingga pagi tadi (semalam), hasil pemantauan dibuat pegawai MBPJ mendapati struktur terbabit sudah dirobohkan mereka dan kita berpuas hati dengan tindakan itu,” katanya.
Ismathinoon berkata sehingga kini, pihaknya mengesan terdapat 10 struktur pemancar telekomunikasi yang tidak mempunyai permit sah, malah melanggar garis panduan pembinaannya kerana terletak berhampiran kawasan perumahan.
Katanya, pihaknya kini dalam proses untuk merobohkan semua struktur terbabit dan tindakan akan dilakukan secara berperingkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan