KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kanak- kanak yang tiada sijil kelahiran kini dibenarkan mendaftar di sekolah bantuan kerajaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Bagaimanapun mereka perlu mendapatkan pengesahan bahawa mereka dilahirkan di negara ini oleh penghulu, ketua kampung atau yang setaraf dengannya.
Sehubungan itu, kementerian itu telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjalankan operasi pendaftaran bagi meringankan beban kanak-kanak terbabit.
"Kementerian menyeru kepada ibu bapa, penjaga agar tampil ke hadapan untuk mendapatkan dokumen yang penting ini agar masa depan kanak-kanak itu tidak terjejas dan mereka tidak akan tercicir daripada alam persekolahan," katanya ketika membuat lawatan ke Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah di sini, Khamis.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Mohd Azmin Hassan memberi jaminan bahawa JPN akan mengeluarkan sijil kelahiran bagi kanak-kanak terbabit sebulan daripada tarikh permohonan diterima jika ia lengkap dan memenuhi syarat yang diperlukan.
"JPN akan meluluskan Daftar Lewat Kelahiran kanak-kanak terbabit berdasarkan laporan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) yang disokong oleh dokumen-dokumen seperti Perintah Mahkamah, laporan doktor dan laporan polis," katanya yang turut serta dalam lawatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan