Jumaat, Mei 15, 2009

BAIKI SEGERA JAMBATAN GANTUNG USANG

image MEMBAKUT 14 Mei - Pihak berkuasa di daerah ini diminta segera mengatasi masalah jambatan gantung rosak dan usang di Kampung Jambatan Baru di sini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, masalah tersebut memerlukan perhatian segera kerana ia merupakan laluan utama penduduk untuk menjalani kehidupan seharian.

"Apa yang merisaukan lagi jika berlaku sebarang kes kecemasan, dikhuatiri pesakit tidak dapat untuk dihantar ke klinik dengan cepat kerana masalah jambatan itu.

"Saya berharap agar pihak berkenaan memberi perhatian sekali gus bertindak membaik pulih jambatan itu secepat mungkin sebelum kejadian buruk berlaku," katanya ketika mengadakan lawatan ke Kampung Jambatan Baru dan Kampung Baitam di sini semalam.

Mohd. Arifin berkata, berdasar tinjauannya, banyak papan yang menjadi tempat untuk berpijak di jambatan gantung berkenaan telah hilang atau pun reput.

Katanya, jika tersilap langkah boleh menyebabkan sesiapa sahaja yang menggunakan jambatan berkenaan jatuh sungai.

Sementara itu, ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung berkenaan, Mohd. Arifin meminta penduduk di dua buah kampung tersebut supaya mengutamakan pembangunan pendidikan untuk anak-anak mereka.

Beliau berkata, ibu bapa tidak boleh berlembut dalam soal pendidikan kerana ia akan merugikan anak mereka di masa depan.

Katanya, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak mereka terjebak di dalam aktiviti tidak sihat.

''Bukannya sampai mengongkong pergerakan anak-anak tetapi setiap pergerakan mereka perlu kita ketahui supaya kita boleh mengawal jika mereka mula terpesong ke jalan yang tidak baik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan