Rabu, Mei 06, 2009

SELESAI SEGERA GANGGUAN BEKALAN AIR

image

SANDAKAN, 6th May, 2009: Pergerakan Pemuda Umno Batu Sapi di sini kelmarin meminta agar Jabatan Air menyelesaikan segera masalah gangguan bekalan air bersih yang berlaku di beberapa kampung di Jalan Batu Sapi.

Ketua Pergerakan itu, Mohd Firdaus Akhbar Khan berkata gangguan bekalan itu berlaku sejak seminggu lepas yang menyebabkan para penduduk yang mendiami kawasan kampung melahirkan kebimbangan dan khuatir akan menjejaskan kesihatan mereka.

“Pemuda Umno mahu ada tindakan segera mengatasi masalah gangguan bekalan air ini. Ini kerana bekalan air amat diperlukan pada rutin harian,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Mohd Firdaus berkata pihaknya banyak menerima aduan dari penduduk kampung berhubung ketiadaan bekalan air bersih yang disalurkan kepada kawasan kampung terbabit sejak beberapa hari lepas.

Katanya antara kampung yang terlibat dalam gangguan bekalan air adalah kampung Karamunting, Air, Bokara, Tabah Baru, Lupak Meluas dan Lembaga Elektik serta Flat MPS.

Beliau juga meminta agar wakil rakyat di kawasan Karamunting dan Batu Sapi turun padang menyelesaikan masalah penduduk seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri rakyat didahulukan, pencapaian ditingkatkan.

“Saya juga hairan sudah beberapa hari bekalan tidak dapat dinikmati penduduk, masih tiada tindakan dan bantuan untuk mengatasinya seperti menyediakan tangki-tangki air kepada penduduk yang berdepan dengan masalah ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengesa agar tindakan dapat dilakukan demi kebaikan dan keselesaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Tinjauan ke kawasan Lembaga Elektrik dan Kampung Karamunting mendapati orang ramai sedang mengambil bekalan air dari air bukit berhampiran dan juga perigi lama berikutan bekalan air tidak diperolehi lewat bulan April lagi.

Ketiadaan bekalan air itu yang dialami seorang penduduk ketika ditemui, Paing Jumadil, 50an, berkata mereka tidak menerima sebarang maklumat pemberhentian bekalan air atau sebarang jadual catuan dari jabatan berkenaan.

“Kami risau ketiadaan air bersih akan mengganggu kesihatan penduduk kerana sejak beberapa hari sudah tiada air bersih. Kami terpaksa mengambil air dari perigi lama yang sudah tidak digunakan lagi.

“Kadang-kadang terpaksa berbaris menunggu giliran untuk mengambil air perigi, walaupun kami tidak tahu tahap kebersihan air perigi ini,” katanya sambil berkata gangguan bekalan air itu juga menjejaskan aktiviti mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan