Najib Mahu Sabah Terus Kekal Simpanan Tetap BN
KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Sabah terus kekal sebagai aset "simpanan tetap" untuk Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata ini penting bagi memastikan BN terus memegang tampuk pemerintahan negara.
"Setahun yang lepas dalam satu perjumpaan di sini, saya menyifatkan Sabah sebagai simpanan tetap untuk BN, dan hari ini saya datang untuk melihat sama ada nilai simpanan tetap itu kekal atau menurun.
"Saya amat gembira kerana Sabah masih kekal sebagai simpanan tetap untuk BN," katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan malam bersama pemimpin BN Negeri di sebuah hotel terkemuka di sini.
Najib, yang juga Pengerusi BN, bagaimanapun berkata kekuatan BN perlu diberi suntikan baru bagi membolehkan parti itu terus mendapatkan sokongan rakyat.
"Sokongan yang kita terima tidak akan kekal untuk selama-lamanya tanpa peranan yang dimainkan oleh semua pihak termasuk pemimpin, wakil rakyat dan anggota pentadbiran.
"Selaras dengan itu, saya telah melontarkan satu konsep iaitu konsep "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan." katanya.
Mengambil Sabah sebagai contoh terbaik mengamalkan konsep 1Malaysia, Najib berkata walaupun terdapat sekitar 45 kumpulan etnik di negeri ini, rakyatnya bersatu dan hidup dalam keadaan aman damai.
"Dalam Umno Sabah sendiri pun ada anggotanya daripada kalangan masyarakat Kadazandusun dan kadang kala memakai pakaian tradisi kaum itu dan memakai pakaian Melayu.
"Apa yang penting ialah kita semua adalah rakyat Malaysia," katanya.
Selain itu, Najib turut mengajak pemimpin BN supaya lebih kerap melakukan "tinjauan mesra" dan mendampingi rakyat peringkat akar umbi.
"Kita perlu turun padang untuk melihat sendiri masalah rakyat. Apa yang kita dengar di dalam pejabat berhawa dingin tidak sama dengan melihat sendiri apa yang dirasai oleh rakyat.
"Saya harap pendekatan ini diamalkan mulai dari sekarang sehinggalah pilihan raya akan datang. Rakyat kini semakin berpengetahuan mahu kita mendengar suara rakyat dan bantu mereka," katanya.
Najib berkata Kerajaan Pusat akan terus membantu memenuhi keperluan negeri Sabah terutama daripada segi pembangunan.
"Sebab itulah, saya melantik empat menteri dan lima timbalan menteri (Persekutuan) dari Sabah baru-baru ini. Bukan itu sahaja, portfolio mereka pun juga diperkukuhkan.
"Sebagai contoh, ada di antara menteri ini yang dikatakan (oleh rakyat Sabah) sebagai menteri yang hanya jaga muzium, sekarang menteri ini bertanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan projek luar bandar. Begitu juga jawatan Menteri Luar yang tidak terfikir (rakyat Sabah) sebelum ini, kita berikan kepada wakil Sabah," katanya.
Empat menteri dari Sabah ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili (PBS); Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi) dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Anifah Aman (Menteri Luar).
Bagaimanapun, Najib berharap mereka yang menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri Persekutuan "tidak hanya memikirkan tentang keperluan Sabah", sebaliknya memikirkan kepentingan nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan