KOTA KINABALU, 13 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Peter Pang En Yin Rabu dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baru menggantikan Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman bagaimanapun mengekalkan Tan dalam kabinet negeri tetapi menukarkan portfolio beliau daripada Menteri Pembangunan Infrastruktur kepada Menteri Pembangunan Perindustrian, bagi menggantikan Datuk Ewon Ebin yang kini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri yang dahulu disandang oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Joseph Pairin Kitingan.
Pairin pula kini ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur, kata Musa kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di sini hari ini.
Musa turut mengumumkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Merotai, Pang Yuk Ming, sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur menggantikan Datuk Michael Asang yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.
Datuk Jainab Ahmad Ayid, yang sebelum ini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, menggantikan Donald Peter Mojuntin yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Kewangan.
Menteri dan Pembantu Menteri lain mengekalkan portfolio masing-masing.
Musa berkata pelantikan itu dibuat setelah mendapat pandangan daripada pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Dengan barisan kabinet yang baru ini, agenda kita tetap mengutamakan rakyat dan akan terus menumpukan usaha dengan lebih banyak bekerja dan kurang bercakap," katanya.
Musa berharap kedudukan Tan dalam kabinet negeri tidak lagi dipolitikkan.
"Banyak agenda pembangunan yang perlu kita laksanakan, yang tentunya menuntut komitmen pemimpin dan sokongan padu rakyat untuk menjayakannya," katanya.
Mengenai kedudukan Datuk Japlin Akim yang digantung keahlian dalam Umno selama tiga tahun, Musa berkata Japlin kekal memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan