Ahad, Mei 17, 2009

PERUBAHAN IKLIM BOLEH KUNCUPKAN EKONOMI DUNIA 20 PERATUS

imageKUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perubahan iklim akan menguncupkan ekonomi global sebanyak 20 peratus, demikian menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

image Kos bagi langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan menyesuaikan kepada kesannya, dianggarkan berjumlah kira-kira satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, kata FMM dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

FMM berkata peranan yang harus dimainkan oleh perniagaan dalam menangani perubahan iklim perlu dibincangkan, kerana sektor swasta dilihat sebagai penyedia penting penyelesaian kos efektif kepada masalah itu.

image "Perniagaan memainkan peranan utama dalam pembangunan dan penggunaan teknologi tenaga sedia ada dan baharu, yang kos efektif serta cekap, dengan pelepasan gas rumah hijau yang rendah dalam semua sektor," kata Presiden FMM Datuk Mustafa Mansur.

image "Perniagaan memerlukan rangka kerja yang jelas, stabil dan boleh dijangka bagi perancangan dan pelaburan jangka panjang dalam projek berkaitan akses tenaga, bekalan dan kecekapan tenaga," katanya.

Bagi menangani isu perubahan iklim, Kongres Dewan Dunia Keenam yang akan diadakan bulan depan akan menilai prospek bagi dekad akan datang mengenai iklim, permintaan tenaga, ekonomi dan pengguna.

image Kongres tersebut yang dianjurkan oleh ICC World Chambers Federation dan dihoskan oleh FMM, dijangka menyaksikan penyertaan lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa di sesi pleno mengenai Implikasi Ekonomi Perubahan Iklim.

Menurut FMM, bekas ketua ekonomi Bank Dunia, Lord Nicholas Stern, yang menerajui semakan semula paling menyeluruh mengenai ekonomi perubahan iklim, akan berkongsi pengalamannya dengan kongres.

Bekas presiden Costa Rica, Jose Maria Figueres, akan berkongsi platform dengan beliau.

image

Tiada ulasan:

Catat Ulasan