Rabu, Mei 20, 2009

PEROMPAK LARIKAN RM8.24 JUTA

KUALA LUMPUR 19 Mei (Bernama) -- Tiga perompak yang dilaporkan berputih mata selepas menyamun sebuah van kawalan keselamatan di Taman Segar, Cheras semalam rupa-rupanya dapat melarikan wang tunai dikatakan berjumlah RM8.24 juta.

imageSuspek yang bertopeng muka itu meloloskan diri dengan melarikan lapan karung berisi wang tunai itu, tetapi tidak sempat melarikan empat lagi karung yang dipercayai mengandungi kira-kira RM2 juta yang ditinggalkan dalam kenderaan itu.

image Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 petang semalam, suspek yang bersenjatakan dua pucuk pistol itu dikatakan hanya sempat melarikan van keselamatan itu sejauh kira-kira 200 meter dari tempat kejadian sebelum ia terhenti dan terkunci selepas sistem keselamatan automatiknya diaktifkan.

image Polis sedang menyiasat kemungkinan kumpulan suspek itu mempunyai pengetahuan dalam sistem keselamatan pada van terbabit sehingga mereka mampu melepaskan diri dan pada masa yang sama sempat melarikan wang tunai itu.

Siasatan turut dijalankan dari pelbagai aspek termasuk kemungkinan penglibatan orang dalam.

image Empat pengawal keselamatan syarikat Mahmood Security itu ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan polis kini giat memburu ketiga-tiga suspek berkenaan.

image Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan nilai wang tunai yang dilarikan suspek, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Sebelum kejadian, empat pengawal keselamatan itu dikatakan baru selesai membuat kutipan harian milik syarikat telekomunikasi Celcom di Taman Segar, Cheras.

image Suspek dikatakan tiba-tiba muncul dan mengacukan senjata api ke arah empat pengawal keselamatan terbabit menyebabkan mereka tergamam dan tidak dapat melakukan apa-apa sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri bersama van itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan