KOTA KINABALU 24 Mei - Penduduk Taman Friendship Fasa 3, Jalan Petagas, Putatan di sini menggesa pihak berkuasa mengatasi segera masalah anjing liar di kawasan tersebut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Penduduk mendakwa, kehadiran sekumpulan anjing liar yang sering berkeliaran di kawasan perumahan itu mengganggu kehidupan seharian dan menyebabkan mereka berasa tertekan.
Selain dibelenggu kebimbangan diserang haiwan tersebut, penduduk memberitahu, kehadiran anjing-anjing berkenaan menyebabkan persekitaran menjadi kotor dengan najis haiwan tersebut dan sampah yang diletakkan di dalam tong sampah berselerakan di hadapan rumah mereka.
Justeru, mereka berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan warga emas dan kanak-kanak.
Tinjauan Utusan Malaysia seawal pukul 6 pagi mendapati lebih 10 ekor anjing masih berkeliaran dalam kumpulan di sepanjang jalan di taman perumahan tersebut.
Utusan Malaysia difahamkan keadaan menjadi lebih teruk pada sebelah malam apabila lebih banyak anjing berkumpul seolah-olah sudah 'menawan' jalan masuk ke perumahan terbabit.
Seorang penduduk, Shafie Mohamad, 57, berkata, kumpulan anjing liar itu bergerak bebas di hadapan rumah mencari makanan di tong sampah.
Katanya, bilangan yang banyak menyebabkan anjing tersebut tidak takut kepada manusia.
"Mungkin jika satu atau dua ekor, kita boleh menghalau anjing itu tetapi dengan jumlah yang banyak, ia tidak berkesan," katanya.
Tambahnya, kehadiran begitu banyak anjing mengundang bahaya kepada penduduk di sini terutama kanak-kanak sekolah ketika mereka pergi dan balik sekolah berdekatan.
''Anjing liar ini sangat aktif pada sebelah pagi dan malam. Sudah ramai yang dikejar oleh anjing liar tetapi sepanjang pengetahuan saya belum ada kedengaran penduduk yang digigit haiwan berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, Anita Belape, 48, berkata, sebelum ini pihak berkuasa pernah menjalankan operasi menangkap anjing liar dan menyebabkan bilangan haiwan tersebut berkurangan.
Bagaimanapun, katanya, ketiadaan operasi susulan menyebabkan anjing liar tersebut semakin bertambah dari sehari ke sehari.
''Saya sendiri terpaksa menghantar anak ke sekolah walaupun jaraknya dekat kerana bimbang dikejar anjing liar.
"Oleh itu saya minta pihak berkenaan supaya segera mengatasi masalah ini, jangan sampai ada yang mati diterkam anjing liar baru tindakan diambil," tegasnya.
Seorang warga emas, Junara Latulele, 64, berkata, dia tidak dapat melupakan pengalaman menakutkan apabila dikejar sekumpulan anjing liar ketika menghantar cucunya ke sekolah tidak jauh dari taman perumahan itu.
"Nasib baik jiran yang ternampak situasi itu bergegas keluar dan melemparkan sesuatu pada anjing berkenaan. Jika tidak, saya tidak tahu nasib saya dan cucu.
"Saya amat berharap masalah ini dapat diatasi oleh pihak berkuasa tempatan secepat mungkin. Anjing ini selalu berkeliaran di kawasan laluan budak sekolah di sini," katanya.
Bagi Joesepin John, 27, aktiviti seharian penduduk akan terjejas jika masalah anjing liar itu dibiarkan tanpa ada penyelesaian.
"Saya bimbang anjing liar boleh membawa penyakit kepada penduduk di kawasan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan