KOTA KINABALU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Sabah yakin cadangan pembinaan rangkaian perkhidmatan kereta api dari bandar raya ini ke utara dan pantai timur Sabah mampu meningkatkan ekonomi penduduk berikutan kemudahan memasarkan produk pertanian dan kraf tangan.
Sehubungan itu, PKMM meminta cadangan projek itu diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memudahkan pemasaran produk pertanian dan kraftangan masyarakat Kadazandusun, Bajau, Iranun dan Rungus.
Yang Dipertuanya, Awadnir Matanggal, berkata kawasan utara negeri ini seperti Kota Belud, Kota Marudu, Pitas dan Kudat kaya dengan sumber semula jadi yang sukar dipasarkan berikutan masalah sistem pengangkutan.
"Perkhidmatan kereta api memudahkan pemasaran hasil pertanian dan kraftangan dari kawasan pedalaman ke bandar, sekali gus meningkatkan sosioekonomi mereka," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri minggu lalu, Kerajaan Persekutuan mungkin memperluas perkhidmatan kereta api ke utara dan pantai timur Sabah pada masa depan.
Perkhidmatan kereta api sedia ada hanya menghubungkan bandar raya ini dengan Tenom dengan melalui daerah Papar, Kimanis dan Beaufort.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan