Sabtu, Mei 23, 2009

MUSA SARAN MASYARAKAT KDM TINGKAT PRODUKTIVITI

image RANAU, 23 Mei (Bernama) -- Krisis ekonomi global harus mendorong masyarakat Kadazandusun dan Murut mempertingkatkan tahap 'efficiency' dan produktiviti mereka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ini bersesuaian dengan tema pesta Kaamatan tahun ini iaitu 'Bersama Membentuk Masa Depan yang Lebih Baik', katanya semasa merasmikan pesta Kaamatan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) peringkat negeri di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru semua warga di daerah Ranau ini khasnya dan rakyat Sabah amnya, agar sentiasa memberi sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan setiap pelaksanaan program pembangunan yang telah dirancang berjalan licin.

Beliau berkata bagi pembangunan daerah ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM20 juta untuk kompleks sukan Ranau yang sedang dalam pembinaan, dan telah meluluskan RM70 juta untuk projek air Kundasang.

"Peruntukan besar ini bukti para pemimpin politik dan penjawat awam sentiasa bekerjasama menjayakan pelbagai agenda pembangunan di seluruh negeri. Ini amat menepati konsep 1Malaysia yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Semua ini untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama di luar bandar yang setia menyokong kerajaan BN sekian lama, dan akan terus dibela," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan