MANILA 13 Mei - Sebuah motosikal yang dipasangkan dengan bom meletup berhampiran konvoi gabenor sebuah pulau di selatan Filipina hari ini, menyebabkan seorang datuk bandar dan sekurang-kurangnya tiga pengawal peribadinya cedera.
Gabenor Sulu, Abdusakur Tan berkata, dia tidak cedera dalam letupan yang berlaku tidak jauh dari ibu negeri Pulau Jolo ketika konvoinya melalui kawasan tersebut.
"Serangan itu ditujukan ke atas saya," kata Abdusakur kepada pemberita melalui telefon.
Jelas beliau, seorang datuk bandar dan tiga pengiring telah dikejarkan ke hospital namun kecederaan yang dialami adalah tidak serius.
Tambah Abdusakur, polis masih menyiasat sama ada kumpulan militan Abu Sayyaf terlibat dalam serangan berkenaan.
Abdusakur mempunyai beberapa musuh politik di Jolo dengan beberapa kumpulan cuba menggulingkan beliau tahun lalu. Beliau telah melancarkan kempen membanteras senjata haram iaitu satu kebimbangan besar di wilayah tersebut.
Letupan berlaku beberapa hari selepas pasukan askar bertempur dengan militan yang masih menahan seorang petugas Palang Merah dari Itali sebagai tebusan sejak Januari lalu, menyebabkan seorang anggota marin dan beberapa lelaki bersenjata cedera.
Abu Sayyaf telah membunuh ketua polis Jolo, Julasirim Kasim dan tiga pengawalnya minggu lalu dalam serang hendap dekat pekan Maimbung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan