Jumaat, April 24, 2009

SURI RUMAH DISARAN CEBURI PERNIAGAAN KECIL

image KOTA KINABALU 23 April - Golongan suri rumah disaran menceburi perniagaan secara kecil-kecilan untuk membantu menambah pendapatan keluarga selain mengisi masa lapang mereka.

image Pengurus Perniagaan Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Jusli Potoh berkata, antara jenis perniagaan kecil-kecilan yang boleh diceburi suri rumah adalah jahitan, masakan dan kraf tangan.

''Golongan suri rumah mempunyai banyak masa yang boleh dimanfaatkan dengan menimba ilmu perniagaan selain membantu suami menambah pendapatan keluarga," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada 31 peserta Kursus Memproses Kek dan Biskut di sini hari ini.

Jusli berkata, pelbagai jenis perniagaan kecil-kecilan boleh diceburi golongan itu termasuk kedai kek yang semakin mendapat sambutan daripada orang ramai.

Katanya, selain produk yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri, mereka juga boleh menjadi pengusaha dan usahawan berjaya apabila menghasilkan produk berkualiti tinggi.

''Apabila dihasilkan sendiri untuk kegunaan keluarga, banyak perbelanjaan harian dapat dijimatkan dan ilmu yang diperoleh pula boleh diperluaskan.

''Ini merupakan satu usaha untuk golongan wanita mengatasi kenaikan harga barangan pada masa kini," ujarnya.

Beliau menambah, perniagaan itu walaupun hanya berbekalkan modal yang kecil tetapi jika diusahakan dengan tekun mampu meraih kentungan yang besar dan pada masa yang sama, boleh membantu menambah pendapatan keluarga.

''Peluang untuk golongan wanita yang ingin memajukan diri dalam bidang perniagaan kini sudah terbuka luas terutama mereka yang berminat untuk berniaga kuih-muih," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan