Isnin, April 27, 2009

SELSEMA BABI – SWINE FLU

image PEKERJA lapangan terbang memakai pelindung sebagai langkah pencegahan jangkitan selesema babi ketika memeriksa penumpang yang tiba dari Bandaraya Mexico di Tijuana, kelmarin. Penularan virus baru selesema babi (H1N1) yang boleh berjangkit daripada manusia kepada manusia itu sudah meragut lebih 80 nyawa di Mexico disifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai 'situasi serius' dan 'berpotensi merebak menjadi wabak besar.' - Foto AFP

image KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan empat langkah serta-merta bagi memantau dan menghadapi risiko wabak selesema babi yang kini melanda Mexico dan Amerika Syarikat serta mula menular ke New Zealand, semalam.

image Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Kawalan Penyakit di kementerian supaya mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau penyakit itu yang sudah mengorbankan 81 penduduk Mexico.

Serentak itu, katanya, semua pengamal perubatan termasuk di sektor swasta diarah memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah serta-merta jika wujud kes yang mempunyai tanda-tanda seperti dijangkiti penyakit itu.

image"Kementerian Kesihatan juga sudah mula bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk membuat saringan terhadap pelancong dari luar negara dan rakyat Malaysia yang pernah melawat Mexico, California atau Texas, Amerika Syarikat selepas 17 April lalu.

"Selain itu, kita juga akan memaklumkan menerusi media massa dari semasa ke semasa mengenai perkembangan wabak berkenaan serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak ia merebak ke negara ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

imageAgensi berita antarabangsa melaporkan, selain 81 yang maut akibat selesema babi di Mexico, 12 kes baru wabak itu sudah disahkan di Amerika Syarikat iaitu di Kansas, California dan Texas, manakala New York turut dikhuatiri terjejas.

image Sementara itu, buat pertama kalinya semalam, pihak berkuasa di New Zealand mengesahkan 10 pelajar negara berkenaan yang baru pulang dari Mexico menghidap selesema babi dan terpaksa dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

image Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan 854 kes selesema babi dikesan di Mexico sehingga memaksa pihak berkuasa negara itu menutup sekolah, muzium, perpustakaan dan teater serta membuat saringan di semua pintu masuk dan keluar.

image Laporan WHO itu juga menyebut kebanyakan kes selesema babi yang disebabkan virus H1N1 - yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, berlaku di kalangan golongan yang berumur 45 tahun ke bawah.

image Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain dikesan berlaku di kalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi.

image Sehubungan itu, sebagai langkah tambahan, Liow turut meminta semua rakyat Malaysia yang pernah ke Mexico, Texas atau California selepas 17 April lalu, segera membuat pemeriksaan perubatan bagi memastikan mereka bebas penyakit itu.

"Adalah penting untuk kita segera mengesan semua rakyat negara ini yang pernah pergi ke tempat berlakunya wabak itu bagi membolehkan kementerian memastikan bahawa virus berkenaan tidak masuk ke negara ini.

"Kementerian memandang serius terhadap risiko selesema babi kerana WHO sudah memberi amaran bahawa virus berkenaan boleh merebak dan menyebabkan kematian dengan cepat," katanya.

Ditanya, kemungkinan kerajaan akan mengeluarkan larangan untuk rakyat negara ini berkunjung ke negara yang dilanda wabak itu, Liow berkata setakat ini tiada arahan daripada WHO untuk semua negara berbuat demikian.

image Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, menasihatkan rakyat di negara ini supaya tidak cemas dengan situasi yang berlaku kerana Malaysia sudah bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan risiko penularan sebarang penyakit berjangkit.

Beliau berkata, pengalaman yang diperoleh ketika menguruskan wabak penyakit berjangkit seperti Japanese Encephalitis (JE), Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) dan selesema burung sebelum ini boleh digunakan bagi memperkukuhkan sistem pengawasan.

"Kementerian mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan negara mempunyai sistem mengesan virus terbabit dengan pantas, mengetahui puncanya dan mengawal penularan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Ortodontik Malaysia (MAO), di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan