Polisi Kabotaj beri kesan harga barang wajar dikaji
KERAJAAN Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri sudah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula Polisi Kabotaj, yang dikesan punca harga barang di Sabah lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Ia berikutan surcaj pengangkutan yang tinggi di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, yang menjadi pintu masuk pelbagai barang ke negeri ini.
Menterinya, Datuk Dr Ewon Ebin berkata, pada 2006, satu kertas perbincangan mengenai langkah untuk mengurangkan kos perkapalan yang tinggi dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri Negeri Sabah (JBI).
JBI dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi menangani isu membabitkan industri di Sabah.
Beliau berkata, satu daripada cadangan itu adalah pemansuhan polisi Kabotaj supaya persaingan dapat diwujudkan dalam industri perkapalan negara.
“Selain itu, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah juga mengemukakan rayuan kepada Majlis Logistik Malaysia (MLC) yang ditubuhkan khusus untuk menangani isu logistik selaras perakuan Pelan Induk Perindustrian Malaysia Ketiga (IMP3),” katanya menjawab soalan Au Kam Wah (BN-Elopura).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan