Najib Maklumkan Perkembangan Terkini Menerusi Blog
KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri yang baru dilantik Datuk Seri Najib Tun Razak juga merupakan seorang penulis blog yang memberikan perkembangan terkini mengenai program harian beliau menerusi www.1malaysia.com.my, dengan berita terkini mengenai peristiwa bersejarah penyerahan tugas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya Jumaat.
Beliau telah memanfaatkan media baru itu dengan turut memuatkan berita dan mesej video di YouTube, protal perkongsian-video sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Menerusi laman web itu, Najib turut menggunakan Twitter, perkhidmatan rangkaian sosial yang membolehkan pengguna menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di antara satu sama lain.
Orang ramai boleh mengikuti kenyataan rasmi pertama beliau sebagai perdana menteri yang baru di laman blog beliau hari ini.
"Sokongan padu rakyat Malaysia telah dipamerkan terhadap mesej mengenai perpaduan dan toleransi yang telah banyak memberikan maklumat kepada saya dan akan memainkan peranan besar dalam membangunkan hubungan antara kerajaan dan warganegara kami," kata Najib dalam laman blognya.
Hari ini, Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia, dalam peralihan kuasa yang dirancang dengan rapi selama setahun. Beliau mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melepaskan jawatan itu selepas lebih lima tahun menjadi perdana menteri.
Najib berkata pelaksanaan pelbagai program, mengikut konsep "Satu Malaysia" akan dapat menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini melalui satu kaedah.
Konsep itu, katanya akan dilaksanakan secara tersusun dan sistematik bagi memastikan tiada masyarakat tertinggal daripada semua jenis pembangunan.
Laman blog Najib kini semakin popular berikutan beliau turut berkongsi pemikiran dan aspirasi beliau dengan orang ramai menerusi laman web itu.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan