KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dirombak dalam usaha transformasi sistem pendidikan yang bergantung kepada peperiksaan.
“Kita tidak melihat keperluan PMR sebenarnya tetapi pelajar terpaksa menanggung beban untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan ini. Lebih baik sebenarnya, pelajar menengah diuji dalam SPM saja,” kata Presiden NUTP, Hashim Adnan.
“Akibat terlalu mementingkan peperiksaan ini, tidak ramai melahirkan individu berbakat dalam bidang lain seperti sukan,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata Kementerian Pelajaran sedang mengkaji keperluan diadakan tiga peperiksaan awam iaitu UPSR, PMR dan SPM.
Sementara itu, Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata terlalu banyak peperiksaan awam bukan saja membebankan guru dan pelajar, malah ibu bapa.
“PIBGN menganggap keperluan PMR tidak begitu penting dibandingkan dengan SPM. Elok sekiranya peperiksaan ini dijadikan penilaian di peringkat sekolah,” katanya.
“Pelajar menengah juga perlu diberikan perspektif global dengan pemikiran yang berdaya saing supaya pelajar kita tidak dianggap sebagai pelajar cemerlang peperiksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan