Khamis, April 23, 2009

MASALAH SEKOLAH LUAR BANDAR DI SABAH AKAN DIATASI SEGERA

image SEMPORNA, 23 April (Bernama) -- Masalah sekolah luar bandar di Sabah termasuk yang melibatkan perumahan guru akan diatasi secepat mungkin bagi menyediakan pembelajaran yang selesa kepada pelajar serta persekitaran kondusif untuk guru, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi.

"Sejak empat hari saya berada di Sabah termasuk di Sandakan, Kinabatangan, Semporna dan Tawau saya melihat terlalu banyak masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah luar bandar di sini.

"Antara yang paling jelas ialah tentang kemudahan bilik darjah. Ada bilik darjah yang terlalu daif dan tidak dapat digunakan dan ada rumah-rumah guru yang terlalu menyedihkan.

"Sebab itu saya terkejut apabila melihat ada rumah guru yang bantalpun tidak ada dan mereka cuma menjadikan beg mereka sebagai bantal," katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Pusat Sekolah Kebangsaan (SK) Bum-Bum dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bum-Bum di Pulau Bum-Bum dekat sini, Khamis.

Puad berkata masalah-masalah berkenaan akan dibawa kepada pihak kementerian untuk dibincang dan mencari jalan penyelesaian memandangkan kebanyakan daripada perkara tersebut sudah dimasukkan dalam bajet Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya antara sebab penangguhan pelaksanaan projek berkenaan termasuk peningkatan kos pembinaan suatu ketika dahulu serta pemindahan bajet berkenaan untuk kegunaan projek lain.

"Saya akan bincangkan perkara ini dengan pegawai dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimana kita boleh mempercepatkan projek-projek seperti ini," katanya.

Terdahulu ketika berucap di Sekolah Pusat SK Bum-Bum, Puad berkata pihaknya menggalakkan guru untuk berhubung terus dengan kementeriannnya termasuk mengutus surat secara peribadi kepada beliau mengenai permasalahan yang mereka hadapi.

Katanya cara itu selaras dengan langkah mewujudkan suasana kerja berpasukan antara pihak sekolah dan kementeriannya ke arah mencapai misi pendidikan negara serta membantu menyelesaikan masalah peringkat akar umbi.

"Saya mesti menyelesaikan masalah kerana masalah itu jika dibiarkan akan mengganggu tumpuan dan motivasi kita untuk mendidik. Sebab itu saya ingin mengambil sikap lebih terbuka dengan menggalakkan guru untuk terus berhubung dengan saya. Saya akan berusaha membantu mereka," katanya.

Katanya beliau tidak mahu menjadi seorang ketua (timbalan menteri) yang tidak tahu apa yang sedang berlaku di peringkat sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan