Ahad, April 26, 2009

LAPORAN KHAS: GURU TERTEKAN DAHULUI WANG SENDIRI TAMPUNG AKTIVITI SEKOLAH

Tanggungjawab 'terpaksa' sudah jadi tradisi bagi warga pendidik sejak dulu lama

KUALA LUMPUR: Ramai guru mendakwa tertekan kerana terpaksa mendahulukan wang sendiri untuk menampung aktiviti sekolah dan keadaan itu lebih terasa dengan kegawatan ekonomi yang berlaku ketika ini, selain gaji guru yang dikatakan masih rendah.

Kebanyakan guru yang dihubungi Berita Minggu mengeluh lantaran sering dibebani tanggungjawab 'terpaksa' itu kerana sudah menjadi tradisi sejak sekian lama, guru terpaksa berkorban segala aspek termasuk wang ringgit demi melaksanakan tugas sebagai pendidik.

Mereka yang hanya bersedia menggunakan nama ringkas lantaran khuatir dikenakan tindakan atas pendedahan ini, mengakui senario itu sudah berlaku begitu lama tetapi belum ada sebarang tindakan meskipun sudah ramai guru merungut setiap kali menguruskan aktiviti sekolah.

Seorang guru di Pulau Pinang, Khairul Zaki, berkata pengurusan sekolah yang tidak cekap menjadi punca utama menyebabkan ramai guru yang dianggap teraniaya kerana terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk aktiviti membabitkan pelajar.

Guru kaunseling itu mendakwa pernah berlaku, beberapa rakannya ditugaskan mengiringi pasukan bola sepak ke kejohanan peringkat daerah terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk tujuan menyewa bas, makan minum pelajar untuk dua hari dan semua perbelanjaan runcit yang lain.

"Khabarnya, mereka membelanjakan RM1,000 dan dikongsi bersama tiga orang guru. Memang selepas kejohanan, mereka boleh tuntut semula duit itu daripada pentadbir tetapi agak lambat untuk mendapatkannya. Ia nyata membebankan mereka.

"Itu kes besar. Jika nak diperincikan, banyak lagi 'pengorbanan' terpaksa yang selalunya membebankan guru. Saya sendiri kerap terpaksa mengeluarkan duit sendiri jika mahu menyediakan bahan untuk program kaunseling, sedangkan ia adalah untuk aktiviti sekolah," katanya yang sudah hampir 10 tahun mengajar.

Bagi Kamarul Azizi yang berpengalaman selama tujuh tahun mengajar di daerah Kuala Selangor, tekanan yang dihadapi guru di situ agak berat kerana setiap kali mereka dikehendaki membawa pelajar melakukan sebarang aktiviti, pasti duit poket mereka yang akan 'melayang'.

"Pernah beberapa kali kami dikehendaki membawa pelajar ke kejohanan merentas desa peringkat negeri. Apabila kami meminta duit daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), mereka kata tak ada peruntukan. Atas rasa prihatin, kami terpaksa berkongsi semua perbelanjaan dan mengemukakan tuntutan selepas kejohanan tetapi malangnya ada yang tidak dibayar," katanya.

Guru di Johor, Medan Malik, berkata akibat terlalu kerap menggunakan duit sendiri untuk aktiviti sekolah, ramai guru yang sudah hilang keikhlasan untuk memastikan pelajar mereka berjaya dalam sebarang aktiviti luar.

Katanya, guru kini lebih selesa menumpukan kepada tugas utama mereka iaitu mengajar dan sering mengeluh jika dikehendaki menguruskan sesuatu aktiviti.

"Aktiviti sekolah pula semakin banyak. Semuanya perlukan duit. Guru bukan ramai sangat. Jika aktiviti itu bertindan, suka atau tidak mereka terpaksa juga bawa pelajar," katanya.

Guru di Kedah pula, Jasnie Nayan, berkata keadaan di sekolahnya lebih teruk kerana jika ada guru yang mengadu atau enggan menguruskan pelajar, mereka akan diugut oleh guru besar yang menggunakan kuasanya untuk mengambil tindakan, termasuk mengugut mereka boleh diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam.

Apa yang lebih mengecewakannya banyak aktiviti di kawasannya hanya dimaklumkan oleh PPD atau Jabatan Pelajaran Kedah (JPNK) melalui telefon dan apabila aktiviti itu selesai, proses membuat tuntutan sangat rumit kerana tidak ada surat rasmi.

"Jika ada surat sekalipun, ada aktiviti yang dianjurkan oleh agensi lain. Kami sebagai guru hanya mengikut arahan, apa lagi jika ia datang daripada PPD atau JPNK. Masalahnya, apabila ia aktiviti agensi lain, mereka kata PPD tak ada peruntukan untuk perbelanjaan itu. Guru juga yang teraniaya," katanya.

Guru di Cheras, Shamsiah Hanif, berkata meskipun dia tak pernah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk aktiviti sekolah, hampir semua aktiviti yang diuruskannya memerlukan pengorbanan kewangan daripadanya.

"Tidak lama lagi ada satu pertandingan tarian peringkat daerah. PPD hanya tahu menganjurkannya dan pihak sekolah pula mengarahkan guru menghantar pasukan. Masalahnya, nak menari mesti ada pakaian. Takkan menari pakai pakaian sekolah.

"Apabila berbincang dengan penolong kanan atau pengetua, mereka kata tak ada peruntukan. Cikgu carilah sendiri. Pening kepala memikirkannya. Nak sewa, mana nak cari duit. Nak tarik diri nanti diberi amaran," katanya.

Semua guru itu mahu kementerian bertindak segera mengatasi masalah berkenaan supaya guru tidak terus tertekan dan dapat melaksanakan aktiviti sekolah dengan lebih berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan