Jumaat, April 10, 2009

EMPAT ISU KEMENTERIAN PELAJARAN

ssaaKUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa terdekat ini untuk menyelesaikan beberapa perkara dalam Kementerian Pelajaran dan memastikan kesinambungan dalam penyerahan tugas tersebut.

Pada pengumuman barisan kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, Hishammuddin dilantik memegang portfolio Menteri Dalam Negeri sementara Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Pelajaran.

Hishammuddin berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri dan antara isu yang akan dibincang dengan Muhyiddin ialah mengenai kad laporan Pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) tahun ini yang perlu dikeluarkan secepat mungkin.

"Isu kedua pula ialah laporan PIPP membabitkan sekolah-sekolah bantuan kerajaaan iaitu empat jenis sekolah - Sekolah jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK (Tamil), sekolah mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

"Isu ketiga pula ialah tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudyaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) dan akan hadir pada mesyuarat lembaga eksekutif minggu depan.

ppsmi"Isu yang keempat pula ialah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dibentangkan pada jemaah menteri," kata Hishammuddin.

Selepas empat isu tersebut diselesaikan, beliau berkata peralihan tugas kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran itu boleh berjalan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan