Selasa, Mac 24, 2009

UTM PERKENAL RUMAH TAHAN LASAK BERHARGA KURANG RM30 RIBU

269px-Universiti_Teknologi_Malaysia.svg KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini memperkenalkan rumah kos rendah yang lasak menggunakan keluli dan plastik yang berharga kurang daripada RM30,000 seunit.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, rumah yang menggunakan gabungan teknologi Jerman, Afrika Selatan dan Malaysia itu dikenali sebagai "Fast-Track Wall" (FTW) dan lebih kuat berbanding rumah konvensional yang menggunakan pasir dan simen serta kayu.

"Dalam keadaan negara kita yang kini semakin terdedah kepada gempa bumi terutama di Sabah dan Sarawak, teknologi ini boleh menyelamatkan rumah daripada runtuh apabila berlaku gegaran.

zaini ujang "Tempoh untuk menyiapkan sebuah rumah yang menggunakan teknologi itu hanya mengambil masa 20 hari sahaja dan ini boleh mengurangkan masa menunggu bagi mereka yang menjadi mangsa bencana," katanya pada pemberita di Kampus Kota UTM, Jalan Semarak di sini Isnin.

Dr Zaini berkata, UTM sedang menunggu kelulusan paten yang dijangka siap minggu depan dan projek secara pukal pertama sebanyak 42 unit akan dilaksanakan di Sabah tidak lama lagi.

Katanya kaedah FTW juga didapati sesuai untuk rumah pangsa dan menambah penggunaan teknologi itu juga sedang dikaji bagi pembinaan jambatan kerana ia tahan gegaran.

Beliau berkata kos bagi membina sebuah rumah dua bilik tidur hanya RM25,000 manakala RM27,000 bagi rumah tiga bilik tidur dan menambah bahawa pihak universiti melalui sebuah syarikat pembinaan Mya Hitech Sdn Bhd sudah menyiapkan lima buah rumah PPRT, satu unit rumah berkembar dan sebuah madrasah di Muar dengan menggunakan teknologi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan