KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membuat siasatan dalaman terhadap seorang pegawai kanannya yang disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan rasuah sehingga ratusan ribu ringgit.
Pegawai terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an dan berkepakaran dalam bidang teknikal siasatan serta undang-undang, sebelum ini pernah menyiasat beberapa kes profil tinggi membabitkan ahli politik, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan.
Sumber-sumber memberitahu Berita Harian, siasatan terhadap pegawai itu dibuat selepas SPRM menerima aduan berhubung perkara berkenaan menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.
"Antara lain, pengadu mendakwa pegawai itu menerima sogokan dan sokongan kewangan daripada seorang usahawan dari Sabah bagi membuka kertas siasatan terhadap beberapa kes membabitkan saingan perniagaannya dan ada di antaranya dibawa ke mahkamah tahun lalu.
Salinan surat bertajuk 'Harapkan Pagar Pagar Makan Padi' itu turut dihantar kepada Ketua Bahagian Penyiasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul; Pengarah Jabatan Risikan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah serta Penolong Pesuruhjaya SPRM, Abdul Wahab Abdul Aziz.
Katanya, siasatan dalam SPRM kini bertumpu kepada akaun peribadi pegawai berkenaan serta ahli keluarga terdekatnya bagi mengesan sama ada wujud simpanan yang luar biasa jumlahnya, selain memastikan sumber wang berkenan.
"Kertas siasatan mengenainya sudah hampir siap dan SPRM kini hanya menunggu masa untuk mendakwa pegawai berkenaan di mahkamah tidak lama lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan