KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Laman web khas mengenai pemantauan dan perbelanjaan pakej-pakej rangsangan yang akan dilancarkan minggu depan, boleh dilayari melalui laman web www.rangsanganekonomi.treasury.gov.my.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha berkata laman web khas itu akan memaparkan maklumat mengenai program, projek dan kemajuan pelaksanaan kedua-dua pakej berkenaan yang mengandungi butiran inisiatif dan bagaimana peruntukan disalurkan secara telus.
"Ini meliputi maklumat seperti jumlah peruntukan yang telah diagih dan dibelanjakan, jumlah projek dilaksanakan dan kemajuan projek," katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Khoo Soo Seang pada persidangan Dewan Negara di sini.
"Ini semua dilakukan kerana keprihatinan terhadap tanggungjawab agar setiap sen dibelanjakan sampai kepada sasaran rakyat yang memerlukannya," katanya.
Menjawab soalan asal Khoo mengenai kesan usaha kerajaan itu, Kong berkata, sehingga kini sebanyak RM6.5 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi pertama telah diagihkan kepada kementerian yang berkenaan bagi menangani krisis ekonomi global semasa.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14,255 projek berjumlah RM1.584 bilion sedang dilaksanakan.
"Ini termasuk 6,621 projek di bawah Program Penyenggaraan Infrastruktur Awam dan Projek Infrastruktur Asas oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan