Jumaat, Mac 27, 2009

200 BIASISWA JPA UNTUK PELAJAR BUMIPUTERA SABAH, SARAWAK

logo_jpa KOTA KINABALU, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kuota khas sebanyak 10 peratus atau 200 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pelajar Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pencapaian akademik pelajar Bumiputera di kedua-dua negeri itu yang masih ketinggalan berbanding pelajar lain di Semenanjung.

"Pada masa ini, banyak lagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap dan keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Sebab itu kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus kepada pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak, dengan memberikan masing-masing peruntukan 100 biasiswa, dalam usaha untuk membetulkan keadaan,".

Terdahulu, dalam ucapannya, Dompok berkata beliau menyokong agar penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains diteruskan.

"Saya fikir penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu tidak menjejaskan penguasaan kita dalam bahasa Malaysia malah membantu kita berkomunikasi dengan baik terutama apabila menganjurkan atau mengikuti program peringkat antarabangsa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan