Ahad, September 02, 2012

PERAGUT DIBELASAH ORANG AWAM

Peragut dibelasah orang awam

PERAGUT terbabit ditahan polis setelah dibelasah orang ramai di Asia City, tengah hari kelmarin.

KOTA KINABALU August 31, 2012: Tindakan seorang lelaki yang meragut beg tangan milik seorang wanita tempatan akhirnya mengundang padah apabila dia cedera dibelasah orang awam yang menangkapnya ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Asia City, di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Suspek berusia 26 tahun itu berjaya ditangkap sebelum dibelasah orang ramai, kira-kira 100 meter dari lokasi dia melarikan beg tangan seorang wanita berusia 30an.

Menurut saksi, ketika kejadian mangsa sedang berjalan seorang diri sebelum didatangi suspek dari arah belakang yang bertindak meragut dan melarikan beg tangannya.

“Lelaki itu mungkin sudah lama memerhatikan mangsa dan hanya menunggu masa untuk meragut. Sebaik melihat mangsa berjalan berseorangan, lelaki itu terus meragut beg tangannya sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

“Mangsa yang terkejut cuba mengejar suspek dan tindakannya itu disedari beberapa orang awam yang kemudiannya memberi pertolongan,” katanya yang enggan dikenali.

Saksi itu berkata, suspek mempunyai tatu di bahagian pergelangan tangan itu cuba melarikan diri menuju ke sebuah pasaraya berdekatan, namun berjaya disekat orang ramai yang kemudian membelasahnya di jalan raya.

Difahamkan, suspek mengalami kecederaan di bahagian muka dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Sementara itu, dalam satu kes lain di Sandakan, seorang budak perempuan yang menceritakan kepada seorang jururawat kejadian rogol yang didakwa dilakukan oleh bapa kandungnya ketika dia berusia lima tahun, membuat laporan polis di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong, berkata mangsa yang kini berumur 13 tahun dan tinggal di Sri Taman telah menceritakan kejadian itu kepada seorang jururawat sebelum membuat laporan polis.

“Sewaktu mangsa melawat sepupu lelakinya yang cedera akibat didera oleh nenek mereka di Hospital Duchess of Kent pada 28 Ogos lepas, dia telah menceritakan kejadian (dakwaan rogol) itu kepada seorang jururawat,” katanya.

Menurutnya, kejadian rogol itu didakwa dilakukan oleh bapa kandungnya sewaktu mangsa berusia lima tahun.

“Jururawat yang mendengar cerita mengenai kejadian itu memaklumkan kepada doktor bertugas sebelum mangsa menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.

Rowell berkata polis yang menerima laporan itu sedang mengesan bapa mangsa yang bekerja di Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.

Pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Rowell berkata pihaknya juga menahan seorang nenek berumur 56 tahun kelmarin bagi membantu siasatan berhubung kes dera sepupu mangsa yang sedang dirawat di Hospital Duchess Of Kent.

by RUZAINI ZULKIFLI dan YUSOP TEPPO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan