Ahad, September 23, 2012

NAMAKAN KABINET BAYANGAN DALAM 3 BULAN, BN SABAH GESA PAKATAN

Namakan Kabinet bayangan dalam 3 bulan, BN Sabah gesa Pakatan

KOTA KINABALU September 20, 2012- Barisan Nasional (BN) Sabah mendesak Pakatan dan parti pembangkang yang lain di Sabah mengumumkan atau menamakan senarai 'Kabinet bayangan' negeri mereka dalam tempoh satu bulan dari sekarang.

Ketika membuat desakan itu, Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ini penting agar rakyat Sabah dapat melihat komposisi Kabinet dan memastikan siapa individu dan "dari parti mana yang bakal menganggotai jemaah Kabinet negeri".

"Umum mengetahui bahawa terdapat pergolakan besar dalam perebutan jawatan menteri di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang sekarang ini. Untuk kepentingan semua pihak, BN Sabah meminta pembangkang mengumumkan Kabinet bayangan negeri mereka serta-merta.

"Rakyat Sabah sudah tentu mahu menilai pengalaman calon-calon menteri tersebut," katanya dalam sidang media bersama yang dihadiri setiausaha agung atau wakil semua parti komponen BN Sabah di Bangunan Umno, dekat sini hari ini.

Abdul Rahman berkata BN Sabah turut mendesak pembangkang untuk menamakan parti yang akan mengisi jawatan Ketua Menteri Sabah "kerana ternyata penyokong pembangkang di Beaufort, Tuaran, Kota Kinabalu dan Sandakan mempunyai calon dari kawasan sendiri yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya nanti".

Katanya ini penting bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negeri Sabah apatah lagi pembangkang sering mendabik dada mengatakan bahawa mereka menyokong konsep dua parti di negara ini.

Abdul Rahman berkata konsep dua parti yang dipraktikkan di negara barat 'mewajibkan' parti pembangkang menamakan Kabinet bayangan mereka sebelum pilihan raya supaya pengundi dapat menilai sejauh mana pengalaman, kredibiliti dan keberkesanan Kabinet itu nanti.

Beliau berkata BN Sabah juga membangkitkan Dasar Ekonomi Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang antara lain melibatkan cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya negara dan penghapusan tol (kos kepada kerajaan RM50 bilion).

BN Sabah, katanya membantah sekeras-kerasnya dasar Pakatan ini kerana langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat Sabah kerana negeri Sabah tidak mempunyai jalan raya bertol.

Beliau berkata jumlah RM50 bilion hanya akan dibelanjakan oleh Pakatan di Semenanjung sahaja dan hanya memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya di Semenanjung.

Katanya BN Sabah yakin Pakatan akan memotong RM50 bilion itu daripada belanjawan pembangunan negara, bermakna peruntukan pembinaan jalan raya, hospital dan sekolah termasuk di Sabah akan dikurangkan.

"Dasar Pakatan ini juga akan memberi kesan negatif kepada rakyat Sabah dari aspek pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana sebahagian pendapatan KWSP adalah daripada pelaburan mereka dalam syarikat konsesi lebuh raya di Semenanjung," katanya.

Abdul Rahman berkata: "Kalau konsesi itu diambil balik oleh Pakatan, besar kemungkinan pulangan pelaburan KWSP akan terjejas dan ini akan memberi dividen berkurangan kepada pekerja-pekerja di Sabah".

Oleh itu, katanya, BN Sabah mendesak Pakatan dan parti pembangkang yang lain agar mendesak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggugurkan janji Buku Jingga itu yang tidak memberi faedah langsung kepada rakyat Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan