Khamis, Ogos 30, 2012

SAMAN SYARIKAT PRODUK PENJAGAAN MATA RM1 JUTA KERANA MATA BUTA

Pegawai JKJR buta fail saman RM1 juta

ne_05.1 (1)-crop

Rozali menunjukkan matanya yang buta di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan memfailkan saman RM1 juta terhadap pemilik syarikat pengeluar produk penjagaan mata selepas mendakwa ubat titis yang digunakan menyebabkan sebelah matanya buta, tiga tahun lalu.

Pegawai JKJR, Rozali Che Mat, 40, memfailkan writ saman tersebut menerusi peguam, Shaharuddin Mohamed di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin di sini semalam.

Rozali yang menamakan pemilik syarikat tersebut, Mohd. Zulkifli Dollah serta rakan kongsinya Mohd. Azuan Alwi sebagai defendan mendakwa, mata kanannya buta hanya selepas menggunakan satu titisan ubat yang dibeli daripada syarikat defendan.

Syarikat produk penjagaan mata yang terkenal itu sebelum ini beralamat di Tumpat namun telah ditutup dan kini dikatakan beralamat di Petaling Jaya, Selangor.

Sehubungan itu, bapa kepada empat orang anak dari Pengkalan Chepa itu menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM1 juta serta ganti rugi lain yang diserahkan kepada budi bicara mahkamah.

Rozali ketika ditemui di mahkamah memberitahu, dia pergi ke premis perniagaan itu di Pondok Haji Ahmad, Kampung Genting, Pengkalan Kubor pada 19 Disember 2009 kerana mengalami kegatalan pada mata kanannya yang dimasuki habuk ketika bekerja di Labok, Machang.

Semasa mendapat rawatan di premis itu, plaintif mendakwa matanya disembur dengan sejenis ubat sebelum disyorkan membeli dua ubat terapi set siang dan malam untuk dititiskan ke dalam mata.

"Pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, saya terus menitiskan ubat titis tersebut ke mata kanan saya dan kira-kira lima jam kemudian saya dapati mata saya mengalami keputihan seperti bernanah yang meliputi mata hitam saya," kata plaintif.

Rozali menambah, pada masa itu, matanya terasa sakit, bengkak serta penglihatannya terjejas namun menyangka ia mungkin tindak balas ubat lalu terus berhenti menggunakan ubat titis tersebut.

Jelas plaintif, selepas dua hari, matanya semakin teruk menyebabkan dia pergi ke sebuah klinik pakar mata di Kota Bharu.

Pemeriksaan doktor pakar itu kemudian mengesahkan mata kanannya buta malah jawapan sama turut diberikan oleh doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Oleh ADHAM SHADAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan