Sabtu, Mac 31, 2012

WARGA ASING EDAR SYABU KEKAL DIHUKUM GANTUNG; PATI CUBA BUNUH ANAK TIRI SELEPAS ROGOL MANGSA

Warga asing edar syabu kekal dihukum gantung

KOTA KINABALU Mac 31, 2012: Seorang lelaki warga asing kekal menjalani hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar syabu seberat 759.52 gram, selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan kelmarin.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Loe Hop Bing, Datuk Mohd  Mohd Hishsmuddin Wahab Yunus, dan Datuk Balia Yusof Hj Wahi, sepakat mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan menolak rayuan Quijano Gerry Saavedra, 43, atas hukuman dan sabitan.

Wira berkata, perayu didapati bersalah atas kesalahan mengedar syabu dan dijatuhkan hukuman mati mandatori. Persoalan yang dibangkitkan sama ada dadah itu dikenal pasti, hakim bicara telah menilai semua bukti yang berkaitan.

Pada 3 September 2010, Pesuruhjaya Kehakiman Stephen Chung yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu terhadap Quijano selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan di luar munasabah.

Stephen dalam penghakimannya berpendapat, cerita Quijano tidak boleh dipercayai lantaran itu, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan di luar munasabah.

Perayu yang diwakili peguam Datuk Chau Ching Tang melakukan kesalahan itu pada 3 April 2008 jam 6 petang, di balai ketibaan Pintu A, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memberitahu mahkamah, semua saksi yang dipanggil semasa memberi keterangan dapat mengenal pasti dadah berkenaan.

Tambahnya, dadah itu juga masih dalam keadaan baik dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa dadah itu telah diganggu.

--------------------

Cuba bunuh anak tiri selepas merogol mangsa

KOTA KINABALU Mac 31, 2012: Seorang bapa tiri bukan sahaja bertindak merogol anak tirinya, malah cuba untuk membunuhnya dengan merendam mangsa di Sungai Inanam, dekat sini baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut bertindak kejam dengan memasukkan pelepah kelapa sawit ke dalam kemaluan mangsa lalu membiarkannya di tepi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila berjaya diselamatkan penduduk kampung yang seterusnya menghubungi pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M Chandra, berkata ketika kejadian, pihak polis menerima panggilan kecemasan dari penduduk kampung yang mengatakan menemui seorang wanita terbaring dalam keadaan lemah kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu.

“Berdasarkan maklumat terbabit, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian dan menemui seorang wanita terbaring dalam keadaan lemah.

“Anggota polis kemudian bertindak membawa mangsa berusia 14 tahun ke HQE untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Chandra berkata, hasil daripada soal siasat terhadap mangsa, mendapati dia dirogol oleh bapa tirinya sebelum bertindak cuba membunuhnya dengan cuba melemaskan mangsa ke dalam sungai di Sungai Inanam.

“Bukan itu sahaja, suspek berusia 34 tahun itu juga bertindak kejam apabila memasukkan satu objek ke dalam kemaluan mangsa, sebelum membiarkan mangsa terbaring dalam keadaan tidak bermaya di tebing sungai.

“Salah seorang penduduk kampung yang melihat mangsa dalam keadaan terbaring, kemudian bertindak menghubungi pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan, kira-kira jam 6 petang suspek berjaya dikesan dan seterusnya ditahan di Bandaraya Kota Kinabalu.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek warganegara Filipina dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek kini ditahan reman mengikut seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol. Selain itu, suspek turut akan dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 377 (c) Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan bertentangan tabii tanpa kerelaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kini masih menerima dirawat di HQE dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana peka terhadap apa yang berlaku sebagai contoh berkenaan kejadian wanita yang dirogol oleh bapa tirinya sendiri.

“Respon cepat daripada orang ramai menyebabkan wanita berkenaan berjaya diselamatkan dan suspek berjaya diberkas anggota polis. Ini adalah satu kerjasama baik yang ditunjukkan oleh masyarakat.

“Saya berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan supaya bukan sahaja dapat mengekang sebarang jenayah yang berlaku, tetapi dapat menahan suspek yang melakukan jenayah dengan pantas,” katanya.

7 ulasan:

  1. Diharapkan penjenayah tidak berperikemanusiaan seperti ini akan mendapat hukuman setimpal.

    BalasPadam
  2. Mereka yang sah mengedar dadah haruslah dihukum kerana di bawah undang-undang negera kita, pemilikan dan pengedaran dadah adalah kesalahan yang serius.

    BalasPadam
  3. byk kes melibatkan warga asing, mereka mmg kejam.

    BalasPadam
  4. Memang tidak serik2 mengedar dadah walaupun sedia maklum hukuman gantung sampai mati boleh dikenakan kepada pesalah.

    BalasPadam
  5. Jangan lepaskah suspek tersebut jika boleh hukuman berat perlu dikenakan.

    BalasPadam
  6. semakin tinggi kemajuan yang dicapai, semakin rendah pula akhlak manusia..

    BalasPadam