Khamis, Januari 07, 2010

“KEBANYAKAN KES ROGOL YANG DILAPORKAN MELIBATKAN SUSPEK YANG ADA HUBUNGAN PERTALIAN SAUDARA DENGAN MANGSA DAN KEJADIAN BERLAKU SEMASA SUSPEK DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL,”

Dua gadis dakwa dirogol bapa saudara dan rakan

RANAU 7th January, 2010: Seorang gadis remaja berusia 15 tahun bersama rakannya, 18, mendakwa telah dirogol oleh bapa saudaranya dan seorang kawannya pada awal pagi 4 Januari tahun ini.

Kedua mangsa telah dirogol selepas jam 1 pagi di sebuah bangunan flat setelah balik dari sebuah kelab malam di pekan Ranau.

Ketua polis daerah DSP Suhaimy Hashim mengesahkan kejadian semasa temu bual bersama wartawan New Sabah Times kelmarin.

Beliau berkata kedua suspek, seorang kontraktor dan seorang pekerja bank kedua-dua berusia dalam lingkungan 30an telah ditahan pada hari yang sama kira-kira jam 12 tengah hari setelah mangsa membuat laporan.

Kedua suspek kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kebanyakan kes rogol yang dilaporkan melibatkan suspek yang ada hubungan pertalian saudara dengan mangsa dan kejadian berlaku semasa suspek di bawah pengaruh alkohol,” kata Suhaimy.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan remaja wanita supaya tidak melibatkan atau mendedahkan diri mereka kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa rogol.

“Elakkan mengikut bapa saudara atau sepupu, kawan atau orang tua sendiri menghadiri majlis minum minuman keras atau pergi ke kelab malam,” beliau menasihatkan.

Beliau berkata beberapa orang mangsa rogol tahun lalu merupakan pelajar sekolah dan sembilan mangsa rogol tahun lalu berumur antara 14 hingga 26 tahun.

“Polis menerima sembilan laporan rogol tahun lalu, sembilan wanita juga telah menjadi mangsa rogol pada tahun 2008,” tambah Suhaimy.

Menjawab satu soalan, Suhaimy berkata peratus penyelesaian keseluruhan kes jenayah yang dilaporkan tahun lalu meningkat 56.52 peratus berbanding dengan 42.53 peratus kes yang berjaya diselesaikan pada tahun 2008.

“Keseluruhan jenayah yang dilaporkan tahun lalu menurun 87 kejadian pada tahun 2008 kepada 69 kes tahun lalu,” beliau berkata.

Polis berjaya menyelesaikan kesemua jenayah kekerasan yang dilaporkan tahun lalu termasuk satu kes bunuh, sembilan kejadian rogol, satu cabul kehormatan, satu samun berkawan tanpa senjata api, dua ugutan jenayah dan enam kes mencederakan di bawah Seksyen 324-326 KK.

“Jenayah kekerasan juga menurun dari 27 kes tahun 2008 kepada 21 kes tahun lalu,” kata beliau.

Polis menerima 31 kes pecah rumah malam hari tahun lalu berbanding 34 kejadian pada tahun seblumnya.

Manakala kecurian motosikal meningkat empat kes tahun lalu dari dua kejadian pada tahun 2008 kepada enam kes tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan