Rabu, Oktober 21, 2009

BILA SAMPAI DI MALAYSIA ?



SUATU pagi ketika seorang penjawat awam dari Sarawak dalam perjalanan menuju ke Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat, dia terkejut apabila pemandu teksi berusia sekitar pertengahan 40-an mengajukan soalan 'bila sampai di Malaysia'




Sama ada ia soalan yang salah dari segi pemilihan perkataan atau itu membayangkan hakikat kesedaran mengenai kedudukan Sarawak dan juga Sabah, adalah sesuatu yang bukan asing. Ketika belajar di sebuah universiti tempatan pada akhir 1970-an dulu, saya pernah mendengar banyak kekeliruan dan salah tanggapan mengenai Sabah dan Sarawak.

Dalam sesi dialog Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dengan pihak media di Kuching lebih seminggu lalu, wartawan dan editor menyampaikan beberapa pengalaman mereka ketika berada di Semenanjung. Ada peristiwa melucukan, dan tidak kurang juga memalukan berkaitan dengan tanggapan dan fahaman sesetengah orang di Semenanjung mengenai Bumi Kenyalang.




Hakikatnya, Malaysia bukan hanya merujuk kepada Semenanjung. Adakah kekeliruan dan tanggapan sedemikian timbul kerana pihak media terutama radio dan televisyen kita menggunakan ungkapan seperti 'seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak' untuk sekian lama? Apakah perlunya memuatkan ungkapan 'termasuk Sabah dan Sarawak' jika yang dimaksudkan memang Malaysia.

Kalau yang dimaksudkan tidak termasuk dua negeri itu, mungkin lebih baik digunakan saja Semenanjung. Bagi mereka yang peka, ungkapan berkenaan memberi gambaran dan implikasi kurang baik. Masih banyak sejarah, demografi, budaya, dan bandar di kedua-dua negeri itu tidak diketahui oleh banyak pihak di Semenanjung.

Di mana silapnya? Adakah kerana ketidakseimbangan pengaliran maklumat? Media arus perdana kita lebih banyak memaparkan berita mengenai Semenanjung. Ketika menuntut di Semenanjung pada akhir dekad 1970-an dan awal 1980-an, malah sekitar awal dasawarsa ini, jarang-jarang laporan mengenai Sarawak dan Sabah disiarkan dalam halaman nasional.
Corak laporan yang sedemikian menyebabkan kejahilan dan salah pemahaman mengenai negeri terbabit. Tanggungjawab menyebarkan makna dan sejarah Hari Malaysia, serta usaha memupuk integrasi nasional terletak di pundak media.

Jika integrasi nasional dan perpaduan sebenar dicapai antara pelbagai wilayah, kaum, kota dan desa, penduduk miskin dan kaya, serta tidak lagi wujud jurang pemahaman dari segi budaya dan agama, barulah kita dapat berbangga dengan konsep 1Malaysia. Mata pelajaran Sejarah di sekolah dan kursus Hubungan Etnik di universiti perlu diperkasa dan dikaji semula orientasi dan kandungannya bagi memastikan impian ini tercapai.

Bagi mereka di Semenanjung, hari kemerdekaan yang diraikan setiap 31 Ogos adalah lebih signifikan, manakala tarikh Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 tidak banyak membawa makna, sedangkan bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, tarikh itu begitu bermakna kepada mereka.

Namun, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengenai cuti umum bagi seluruh negara sempena Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun, disambut baik oleh kalangan pemimpin serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Susulan itu, persoalan berkaitan sejarah Sabah dan Sarawak, terutama mengenai penubuhan Malaysia perlu dijadikan tema penting dalam mata pelajaran sejarah pada semua peringkat. Jika tidak, pelajar tidak akan mengambil berat persoalan berkenaan sehingga terjadinya rakyat Malaysia yang buta sejarah dan tidak pun tahu maksud Hari Malaysia.

Mungkin lebih banyak buku berkaitan dengan pembentukan Malaysia perlu diterbit dan diedarkan. Buku ini perlu diterbitkan menjelang Hari Malaysia tahun depan. Tanggapan dan pemahaman salah sedemikian tidak seharusnya wujud lagi sesudah Sabah dan Sarawak sama-sama bersetuju untuk membentuk gagasan Malaysia.

Ini sesuatu yang malang sesudah 46 tahun kita berada di bawah bumbung yang sama. Dalam hubungan ini, seruan Najib ketika melancarkan Hari Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 di Kuching 10 Oktober lalu perlu diberi perhatian berat.

Beliau memetik laporan bahawa hanya enam daripada 20 orang yang ditemuramah akhbar mengetahui maksud sambutan Hari Malaysia, manakala lapan menyangka Hari Malaysia ialah Hari Kemerdekaan, dan tiga orang mengaitkannya dengan 1Malaysia. Lebih mendukacitakan lagi, tiga orang langsung tidak tahu Hari Malaysia.

Negara bangsa hanya dapat dilahirkan di bawah keadaan sejarah tertentu, terutama jika seluruh rakyat faham akan maksud sebenar pembentukan Malaysia. Bangsa idaman yang kita hasratkan hanya akan terhasil jika ada kesedaran mendalam untuk mengisi erti sebenar kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Dengan pemahaman yang betul mengenai sejarah negara, tentu tidak akan lagi ada pertanyaan dan ungkapan melucukan dan memalukan seperti yang dilontarkan oleh pemandu teksi yang membawa penjawat awam dari Sarawak ke pusat pentadbiran moden negara.


Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan