Sabtu, Disember 15, 2012

KASTAM SUDAH KUTIP RM30.47b HASIL CUKAI

KASTAM SUDAH KUTIP RM30.47b HASIL CUKAI

TAWAU 13/12/2012: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip hasil sebanyak RM30.47 bilion sehingga 11 Disember iaitu peningkatan 6.03 peratus atau sebanyak RM1.73 bilion berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Dato Sri Khazali Haji Ahmad berkata, daripada jumlah itu JKDM Sabah telah menyumbang sebanyak RM772 juta.

Menurutnya, JKDM akan terus merangka strategi supaya peningkatan hasil kutipan akan terus dapat diperolehi bagi pembangunan negara secara keseluruhannya.

“Kita menyasarkan untuk terus meningkatkan pungutan hasil pada tahun hadapan kepada RM33 bilion hingga RM34 billion,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se Malaysia ke-70 di sebuah hotel di sini.

Persidangan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Katanya, bahagian Penguatkuasaan JKDM juga telah berjaya membanteras aktiviti penyeludupan dengan nilai rampasan sebanyak RM491.04 juta melibatkan cukai sebanyak RM 356.91 juta.

“Komoditi utama barang yang diseludup ialah dadah, kenderaan, rokok, tekstil, barangan elektrik dan minuman keras,’’ katanya.

Jelasnya, bagi negeri ini, bahagian Penguatkuasaan telah berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan dengan nilai rampasan sebanyak RM 4.53 juta melibatkan cukai sebanyak RM 6.8 juta.

“Antara barangan utama yang diseludup masuk ialah kenderaan, mercun dan bunga api, parabola, VCD/DVD, kain batik/ sarong dan tembakau,’’katanya.

Sementara itu katanya, JKDM memiliki 78 unit mesin pengimbas bagasi, tiga mesin pengimbas badan dan satu unit mesin pengimbas kargo udara dan 16 unit pengimbas kargo.

“Dengan adanya peralatan canggih ini dapat mempercepatkan proses pemeriksaan dan seterusnya membendung aktiviti penyeludupan terutamanya barangan larangan seperti dadah, senjata api dan sebagainya,’’ ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kerjasama daripada orang ramai amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan