Khamis, November 01, 2012

LELAKI WARGA ASING DIDAKWA INTAI WANITA MANDI

Lelaki warga asing didakwa intai wanita mandi

KOTA KINABALU 31/10/2012: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas pertuduhan  mengintai seorang wanita yang sedang mandi.

Bagaimanapun, Azman Musliadi, 19, mengaku tidak bersalah dan untuk itu, Majistret Herlina Muse menetapkan pada 9 November tahun ini sebagai tarikh bicara terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa mengintai seorang wanita berusia 23 tahun yang sedang mandi pada 2 Oktober tahun ini jam 11.30 malam, di bilik sewa, Sinsuran, di sini.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah, yang boleh didenda sehingga RM25 atau penjara seminggu.

Namun, tertuduh yang tidak memiliki sebarang dokumen peribadi tidak ditawarkan ikat jamin dan diarahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Semetara itu, mahkamah menetapkan pada 6 hingga 7 Disember tahun ini sebagai tarikh bicara terhadap seorang pemandu lori, Pauleh Dansun, 41,  yang didakwa gagal memberikan perhatian kepada laluan keretapi hingga sebabkan pelanggaran dan kecederaan kepada para penumpang keretapi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Oktober tahun lalu di hadapan stesen minyak Shell, Kilometer 8, Jalan Kepayan, di sini.

Pertama, Pauleh yang memandu lori tangki minyak SAA 2470D dan SS8526, pada hari dan tempat yang sama jam 5.30 petang, dituduh sebabkan pelanggaran dengan sebuah keretapi DMU 6602, 6602A, 6602B dan 6602C.

Akibat daripada daripada kecuaiannya itu telah membahayakan nyawa dan mengakibatkan cedera kepada Asneh Papang, 44, Nurmaziyatun Nasihah Jasimin, 22, Jamil Mustapa, 46, Norfaisma Ismail, 19, Norafidah Jalani, 34, Joseph Kulip, 51, Saran Latif,54, Mahsita Dillah, 29, Lily Shafadawati, 28, dan Faridoon Khan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM1,000.

Kedua, dia sekali lagi didakwa atas pertuduhan sama, hingga membahayakan nyawa dan telah mendatangkan cedera parah kepada Rahmah Rahmat, 48, dan Rauziah Ramli, 38, pada hari dan tempat yang sama.

Atas  pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 338 kanun sama yang boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, atau denda RM2,000, atau kedua-duanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan