Ahad, September 16, 2012

PROF JAYUM: 'JANGAN BIAR ORANG SABAH SARAWAK TUNGGU LAMA'

Prof Jayum: 'Jangan biar orang Sabah Sarawak tunggu lama'

Prof Jayum... Anggota Kabinet perlu mendalami dan memahami masalah sebenar rakyat Malaysia.

Prof Jayum... Anggota Kabinet perlu mendalami dan memahami masalah sebenar rakyat Malaysia.

TANGGAL 16 September 1963 pastinya menjadi satu kenangan buat seluruh rakyat Malaysia kerana ia membawa kepada kelahiran persekutuan bernama Malaysia membabitkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Hari Malaysia disambut di Bintulu hari ini. Tahun ini tahun kedua 16 September diumumkan sebagai cuti umum.

Di mana kita berada sekarang? Bagaimana penerimaan dan cabaran?

Ikuti wawancara Sinar Harian Online bersama Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jayum Jawan.

SINAR HARIAN ONLINE: Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti, bagaimanakah seharusnya penduduk di Sabah dan Sarawak mengisi erti pembentukan bersejarah itu?

PROF JAYUM: Sememangnya Hari Malaysia ini tepat diraikan oleh orang di Sabah dan Sarawak.

Memang sebelum inipun sambutan Hari Malaysia menjadi keutamaan orang di Sabah dan Sarawak berbanding Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos kerana itu merupakan hari kelahiran Malaysia.

Mengenai pengisiaannya, saya ada dimaklumkan di Bintulu da Miri sudah ada beberapa program telah dirancang yang boleh didekati oleh orang di Sabah dan Sarawak.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimanakah penerimaan penduduk dua negeri itu sebaik pengisytiharan dibuat empat dekad lalu?

PROF JAYUM: Pada ketika itu, penerimaannya amat berbelah-bahagi kerana ramai tidak faham tujuan sebenar penggabungan ini dan pada mulanya, memang mereka tidak mahu. Mereka tidak mahu kerana mereka tidak tahu apa niat yang pemimpin-pemimpin Semenanjung. Tetapi hasil kempen dan penerangan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj termasuk beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak yang mahukan penyatuan ini, akhirnya penduduk kedua-dua negeri ini serta Singapura dan Brunei yakin. Akhirnya, majoriti orang di Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bergabung.

SINAR HARIAN ONLINE: Selain tidak faham, apa sebenarnya yang menjadi kerisauan orang-orang di Sabah dan Sarawak mengenai gabungan ini?

PROF JAYUM: Seperti yang disebut pada awal, satu mungkin mereka tidak faham dan yang keduanya, kerana mereka hendak 'merdeka' dahulu sebelum bergabung dengan Tanah Melayu. Tapi semua itu mungkin kesilapan laporan sejarah kerana pada pandangan saya, Sabah dan Sarawak sudah merdeka pada 1946 apabila tentera Jepun telah menarik diri.

Jadi, kembalinya pemerintahan Inggeris itu atas permintaan orang-orang di negeri itu yang mahukan pihak koloni kembali mentadbir. Oleh sebab itulah, saya melihat Sabah dan Sarawak telah merdeka pada tahun itu sama seperti Tanah Melayu yang terlepas daripada cengkaman Jepun, cuma bila Jepun mengundur diri daripada Tanah Melayu, Inggeris datang balik dengan sendirinya.

Jadi kuasa pemerintahan sebelum itu, menampakkan di Tanah Melayu penjajahan bersambung kembali. Berbeza di Sarawak misalnya, pejabat koloni oleh Raja Brooke tidak memerintah sebelum 1946. Raja Brooke tidak menjajah, tetapi dijemput dan ditauliahkan oleh Sultan Brunei untuk memerintah negeri ini.

Jadi, orang Sarawak tidak berasa diri menerka dijajah seperti yang berlaku di Malaya. Brooke tidak datang dengan senapang dan menawan Sarawak.

Kerisauan seterusnya oleh orang Sabah dan Sarawak terhadap penyatuan ini ialah mereka bimbang mereka akan kehilangan tanah-tanah yang telah diwarisi oleh nenek moyang mereka. Mereka bimbang orang-orang kaya dari Tanah Melayu dan Singapura akan datang membeli tanah mereka.

Bagaimanapun, beberapa syarat yang dikemukakan mengenai hak eksklusif pemilikan tanah ini yang dicadangkan yang akhirnya penduduk dua negeri ini setuju bersatu.

SINAR HARIAN ONLINE:  Apakah contoh persetujuan itu?

PROF JAYUM: Misalnya, jaminan daripada pihak imigresen bahawa orang yang mereka tidak mahu ada di negeri mereka, akan diikuti bagi menghormati pendirian mereka. Tetapi tujuan asal penyatuan ini ialah kekal di bawah kepimpinan Tunku.

Jaminan lain termasuklah hak pemilikan tanah orang Sabah dan Sarawak juga kekal. Orang dari luar tidak semudah itu untuk membeli tanah mereka.

SINAR HARIAN ONLINE:  Jadi, maksud Prof penentangan ini membabitkan penduduk di Sabah dan Sarawak sahaja?

PROF JAYUM: Ya betul, dan termasuk Brunei, tetapi akhirnya Brunei tarik diri daripa penyatuan ini.

SINAR HARIAN ONLINE:  Proses untuk meyakinkan penduduk di Sabah dan Sarawak ini mengambil masa berapa lama?

PROF JAYUM: Ia bermula dari tahun 1961 sehingga Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Dalam tempoh itu, banyak lawatan diadakan membabitkan pemimpin-pemimpin kaum dari Sabah dan Sarawak di bawa ke Semenanjung untuk melihat kemajuan dan pembangunan yang dicapai di sana.

Kebetulan pada masa itu, program Felda baru berjalan.

Orang yang tidak mempunyai tanah berpeluang untuk meneroka tanah dan apa yang dilihat oleh pemimpin-pemimpin itu lebih meyakinkan bahawa di bawah gabungan ini nanti Sabah dan Sarawak turut dapat dimajukan.

SINAR HARIAN ONLINE:  Sehingga pembentukan berlaku masih ada tentangan atau tidak? Mengapa?

PROF JAYUM: Kalau mengikut sejarah, mereka yang menentang dari awal hingga  sehingga tarikh 16 September ialah orang Cina dan cuma sebilangan kecil yang bersetuju untuk bersatu.

Bagi kaum Melayu serta penduduk Bumiputera lain seperi Iban, Dayak, Bidayuh dan orang Ulu sebahagian besar iaitu 40 peratus setuju, 20 peratus lagi tidak setuju dan selebihnya sukar dihubungi kerana mereka berada di kawasan pendalaman. Itulah gambaran yang berlaku pada 1963.

SINAR HARIAN ONLINE:  Penentangan ini tidak ekstrem sehingga pertumpahan darah berlaku?

PROF JAYUM: Betul. Semasa pilihan raya kali pertama pada 1964, ia diadakan tiga tingkat. Keputusan pilihan raya pada masa itu menunjukkan kepelbagain kumpulan termasuk yang menyokong dan menentang yang mewakili bebebrapa kawasan. Jadi, keputusan itulah mencerminkan bagaimana penerimaan mereka terhadap penyatuan negeri-negeri itu.

SINAR HARIAN ONLINE:  Apakah persepsi dan harapan penduduk Sabah dan Sarawak ketika ini?

PROF JAYUM: Mereka berharap dapat melibatkan diri dari semua segi.

Kalau penglibatan dari segi politik tidak ada masalah kerana wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak ada yang memegang potfolio di Kabinet. Yang menjadi rungutan dari semasa ke semasa ialah birokrasi persekutuan yang melibatkan perjawatan awam. Misalnya, jawatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah... orang dari Sabah dan Sarawak masih belum berpeluang menjawat jawatan itu.

SINAR HARIAN ONLINE:  Itu dari segi peluang menjawat jawatan di peringkat tinggi di peringkat persekutuan. Bagaimana pula peluang menyambung pelajaran?

PROF JAYUM: Saya tidak kata peluang itu tidak dibuka kepada anak-anak Sabah dan Sarawak tetapi, bilangan itu amat kecil.

Apabila disebut mengenai isu kuota, dia sama ada orang yang diberi atau yang yang menerima merasa terhina. Isu berkaitannya bukan kerana tidak layak di mana kelayakan minimanya telah dipenuhi, cuma untuk Institusi

Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan memilih keputusan yang tertinggi sekali. Jadi, permohonan yang ditolak itu bukan kerana tidak pandai tetapi disebabkan oleh ada orang lain mempunyai keputusan yang lebih baik. Tempat di IPTA pula terhad.

Kalau dulu sistem kuota itu digunakan untuk meningkatkan penglibatan orang Melayu dalam pelbagai bidang, tapi saya rasa tidak salahnya jika sistem kuota itu digunakan untuk membantu kaum Sabah dan Sarawak yang berhadapan dengan kepincangan ini.

Tapi ini tidak boleh digunakan sebagai solusi jangka masa panjang, dan perlu dihentikan pada satu tempoh masa yang sesuai.

SINAR HARIAN ONLINE:  Bagaimana keadaan sebenar orang Sabah dan Sarawak sekarang? Adakah mereka berpuas hati selepas 49 tahun bersama?

PROF JAYUM: Umumnya mereka berpuas hati cuma, mereka mahukan perhatian yang lebih dari pemimpin-pemimpin negara. Soal tidak puas hati ini tidak timbul. Mereka cuma hau permasalahan yang terpaksa ditanggung itu difahami pemimpin.

Jika kita lihat fenomena sekarang, Sabah dan Sarawak sudah mendapat tumpuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat kerap pergi ke sana. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Bukan hanya kerana pilihan raya yang makin hampir tetapi sepatutnya dilakukan juga oleh pemimpin-pemimpin sebelum beliau lagi.

Bagi saya, apa yang dilakukan Najib nerupakan satu taktik dan strategi yang boleh mendekatkan dengan orang di Sabah dan Sarawak.

SINAR HARIAN ONLINE:  Jika masih ada kekurangan selama ini, semangat satu bangsa Malaysia masih dapatkah diwujudkan?

PROF JAYUM: Orang Sabah dan Sarawak ini tetap sayangkan penyatuan ini walaupun sudah lebih 40 tahun bergabung dan menerima semua dengan hati terbuka. Ini satu sikap yang bagus mengenai orang Sabah dan Sarawak. Ya, tetapi sampai bila boleh bersabar itu tidak tahu. Jangan sampai timbul perasaan marah dan mula mempersoalkan beberapa perkara yang tidak perlu dipersoalkan. Kalau Najib telah menunjukkan jalan, anggota-anggota Kabinetnya juga seharusnya mengambil langkah yang sama.

Kalau seseorang menteri itu sudah menjadi menteri persekutuan yang menang dari tiket Umno, MCA ataupun MIC, harus ingat mereka adalah menteri untuk rakyat Malaysia. Bukannya menteri yang hanya mewakili kaum Melayu, Cina atau India sahaja. Mereka tidak boleh berfikiran sempit dan hanya menjaga kepentingan dan keperluan kaum tertentu sahaja.

Masalah Orang Asli juga harus diberi keutamaan kerana mereka adalah menteri Persekutuan. Mereka perlu mendalami seterusnya memahami masalah sebenar rakyat Malaysia.

SINAR HARIAN ONLINE:  Apakah cabaran masa depan bagi penduduk di Sabah dan Sarawak?

PROF JAYUM: Pada pandangan saya, cabaran yang paling besar ialah pendidikan kerana ia menjamin masa depan anak bangsa. Ini kerana melalui pendidikan yang memberikan gambaran dunia terhadap sesebuah negara itu. Kalau dari segi pendidikan di Sarawak, banyak perkara yang harus dilakukan.

Cabarannya juga besar kerana Sarawak ini besar, orangnya tidaklah ramai sangat tetapi tetapi duduk terpisah. Kita juga faham sejak dulu lagi inilah cabaran utamanya. Oleh yang demikian, kerajaan diharap dapat merancang strategi baru membangunkan sebuah sekolah yang lengkap dan empat atau lima komuniti boleh berkongsi kemudahan itu. Walaupun ia sudah dijalankan, tetapi kelengkapannya harus dipastikan termasuk penyediaan guru-guru yang berkualiti. Selain itu, pengisiannya juga harus dipantau.

Jangan hanya beri komputer tetapi pelajarnya tidak tahu menggunakan kemudahan itu.

SINAR HARIAN ONLINE:  Sebentar tadi Prof menyentuh mengenai guru-guru yang berkualiti. Adakah guru-guru yang dihantar tidak berkualiti?

PROF JAYUM: Bukan! Ini adalah cabaran bagi guru-guru itu juga. Ada yang sudah biasa berada di bandar yang lengkap dari segi kemudahan dan apabila dihantar ke sana, menjadi satu kejutan budaya bagi mereka. Ada banyak kekurangan jika berada di sana. Misalnya siaran televisyen, ada kala ada ada kalanya tidak. Malah, ada pula yang terpaksa mengambil gaji dua bulan sekali kerana faktor lokasi yang menyukarkan mereka ke bandar untuk membuat pengeluaran wang. Ini menjadi cabaran besar buat guru-guru muda dari luar.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah dengan membuat penempatan semula akan mengganggu tradisi orang Sabah dan Sarawak bagi mengatasi masalah geografi ini?

PROF JAYUM: Penempatan semula ini memang sudah dilakukan. Di Sarawak misalnya, 30 hingga 40 komuniti telah disatukan dan ditempatkan di satu kawasan. Oleh yang demikian, keperluan untuk melatih dan memberi peluang kepada anak-anak tempatan dapat tempat di IPTA. Mereka ini lebih memahami keperluan dan budaya orang sana. Kadang-kadang kita tidak boleh marah orang-orang bandar yang dihantar bertugas di kawasan pendalaman kerana bukan kebiasaan mereka. Cara terbaik mengatasi perkara ini dengan memperkasakan anak-anak tempatan dalam faktor pendidikan ini.

Secara tidak langsung mereka dapat pulang ke kampung untuk menabur bakti.

Kebaikan dari segi budaya, mereka ini lebih faham cara untuk menguruskan pelajar-pelajar terutamanya dalam menguruskan masalah yang timbul.

RUZY ADILA IDRIS

4 ulasan:

  1. Birokrasi yang menjadi persoalan sehingga sekarang kerana yang kita tahu orang dari Sabah dan Sarawak masih belum berpeluang menjawat jawatan itu. Harap peluang akan diberikan kepada penduduk Sabah dan Sarawak nanti.

    BalasPadam
  2. Apa pun kita patut berbangga dapat menyambut hari Malaysia sehingga sekarang dengan keamanan dan kedamaian yang dipertahankan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. keamanan yng dikecapi harus dikekalkan.

      Padam
  3. hangat betul isu keerdekaan dan pembentukan malaysia.. sebaik2nya biarlah pakar sejarah dan pakar undang2 sahaja yang membincangkan isu ini bukan pakar politik..

    BalasPadam