Ugut Bunuh Bekas Kekasih, Warga Asing Didenda RM25
TAWAU August 23, 2012: Seorang lelaki warga asing didenda RM25 atau penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas kesalahan menghantar ugutan bunuh kepada bekas kekasihnya menerusi kiriman Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Majistret Edward Paul membuat keputusan itu terhadap Mohd Rais Abdul Samad, 37, mengikut Seksyen 8 (1)(e) Undang-Undang Kecil 1953 (Cap. 80) yang membawa hukuman denda maksimum RM25 jika sabit kesalahan.
Mahkamah sama turut memerintahkan Rais dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjaranya memandangkan tertuduh enggan melunaskan bayaran dendanya.
Rais didakwa menghantas SMS berbunyi “aku bunuh kau perempuan jahanam!!! Aku bunuh kau!!!” kepada Yasmine Yuliantina Hasan, 25, di Pasar Tanjung kira-kira jam 11.10 pagi pada 18 Jun lepas.
Mengikut fakta kes, mangsa yang berasa ketakutan dengan ancaman itu membuat laporan polis dan pihak polis kemudiannya memberkas Rais di IPD Tawau kira-kira sejam 30 minit selepas SMS terbabit diterima oleh mangsa.
Siasatan polis menunjukkan Rais dan Yulianti merupakan pasangan kekasih namun Rais menghantar SMS berkenaan kerana berasa marah dan sakit hati terhadap bekas kekasihnya itu yang dikatakan sering menipunya dan tidak dapat dihubungi.
Yulianti yang tinggal di Tawau menyatakan bahawa hubungan percintaannya dengan Rais telahpun putus, namun Rais pula mengatakan bahawa hubungannya dengan wanita terbabit belum berakhir.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Joan Lee.
-----------------
115,600 pendatang tanpa izin berjaya didaftar melalui Program 5P: Soepeno
Tiada ulasan:
Catat Ulasan