Pemimpin Sabah tidak puas hati sejak 2008
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah di Sabah itu.
PETALING JAYA August 4, 2012: Bibit-bibit tidak puas hati Sabah terhadap kerajaan Pusat susah mula tercetus sejak pilihan raya umum 2008, kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Beliau juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah di Sabah itu.
“Najib nak pergi Sabah pada 11 Ogos ini, ini sudah terlambat. Sepatutnya dia jumpa pemimpin-pemimpin itu sejak awal lagi.
“Bincang dengan mereka…selesaikan awal-awal,”
kata beliau ketika dihubungi petang ini.
Walaupun, Sabah memberi kemenangan besar kepada BN tetapi Pusat tidak melayannya dengan baik, tambah beliau.
Bagaimanapun, Dr Mohd Azizuddin menegaskan banyak faktor yang menyebabkan rakyat Sabah tidak puas hati atau pun marah kepada Pusat.
“Orang Melayu marah kerana isu pendatang asing tidak diselesaikan. Mereka merasa pendatang asing ini telah merampas hak-hak mereka.
“Orang Kadazan pula mahukan jawatan Ketua Menteri sebagaimana era pemerintahan Tan Sri Pairin Kitingan.
“Mereka marah kerana penggiliran jawatan Ketua Menteri sudah ditiadakan,” katanya lagi.
Jawatan Ketua Menteri kini disandang oleh Datuk Seri Musa Aman dari Umno.
Isu pembangkang lebih menarik
Dr Mohd Azizuddin menambah, pembangkang telah membentangkan isu-isu yang lebih menarik minat orang Sabah.
Katanya, isu seperti pemberian royalti minyak dan ekonomi diterima oleh orang Sabah.
Bagaimanapun, beliau berkata masih awal untuk mengatakan Sabah akan membuka laluan kepada Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
“Tetapi jika lebih ramai lagi pemimpin Sabah keluar BN, ini bermakna negeri itu bukan lagi simpanan tetap kepada BN.
“Saya nampak gelombangnya sudah ada tetapi masih awal untuk melihat hasilnya,” tambah Dr Mohd Azizuddin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan dua pemimpin BN Sabah – Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing – meninggalkan parti itu.
Lajim merupakan ahli Parlimen Beaufot dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Wilfred adalah ahli Parlimen Tuaran.
Senator Datuk Maijol Mahap juga mengisytiharkan keluar BN hujung minggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan