Isnin, Jun 25, 2012

JSJN TAHAN 14 LELAKI, DUA WANITA WARGA ASING ATAS PELBAGAI KESALAHAN

JSJN tahan 14 lelaki, dua wanita warga asing atas pelbagai kesalahan

LAHAD DATU 22nd June, 2012: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah ini berjaya menahan seramai 14 lelaki dan dua wanita warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk dipercayai memiliki dan terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri semasa melancarkan Ops Dadah di sini, Sabtu lalu.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah dadah disyaki jenis syabu seberat 46.23 gram dengan anggaran nilai sebanyak RM19,000 menerusi dua serbuan berasingan yang dilakukan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ASP Bong Kuet Khiun berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pada kira-kira jam 12.05 tengah malam, sepasukan anggota JSJN bersama tiga orang pegawai dan diketuai oleh Insp. Mohd Noor Ariffin telah melakukan serbuan pertama di sebuah ladang kelapa sawit dan berjaya menahan seramai empat lelaki, dua daripadanya adalah warga asing.

Katanya, semasa serbuan dilakukan keempat-empat lelaki itu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dilihat sedang asyik menghisap dadah sambil melakukan aktiviti pembungkusan dadah di sebuah pondok kecil di kawasan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, JSJN telah merampas 46.02 gram dadah jenis syabu yang disimpan di dalam sebuah kotak plastik berwarna biru,” katanya.

Bong berkata, kesemua suspek itu ditahan reman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam serbuan kedua yang dibuat berasingan pada kira-kira jam 1.30 pagi di Kampung Bangingod Felda Sabahat, Bong memberitahu pihak JSJN turut berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 0.21 gram dan menahan seorang lelaki warga asing berumur 21 tahun.

Katanya, semasa serbuan dibuat suspek pada mulanya telah cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis sambil mencampakkan satu bungkusan ke luar rumah.

“Suspek yang berjaya ditahan sejurus selepas itu telah diperiksa bersama bungkusan yang telah dicampakkan dan hasil pemeriksaan dalam bungkusan tersebut telah terdapat satu kotak rokok jenama L.A. yang mengandungi 2 paket plastik cerah berisi bahan disyaki syabu,” katanya.

Katanya lagi, tangkapan dan barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke balai polis daerah Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya lagi, siasatan lanjut terhadap lelaki itu juga turut mendapati positif dadah jenis Methamphetamine setelah ujian air kencing dilakukan terhadapnya.

“Suspek juga akan turut di siasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Manakala, dalam beberapa siri operasi yang dilancarkan pada malam itu, pihak polis turut berjaya menahan seramai 8 orang lelaki warga asing berumur antara 15 hingga 35 tahun, selepas ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas Bong, turut ditahan seorang lelaki bersama dua wanita warga asing, ketika pemeriksaan dilakukan kesemua suspek dikatakan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri ketika diminta untuk berbuat demikian.

“Kelapan-lapan suspek berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen sama iaitu 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga warga asing terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen Daerah Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

---------------

Robbery suspect, prostitutes nabbed

Lima ditahan, geng pecah dan samun tumpas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan