Selasa, April 10, 2012

PIBG GOTONG-ROYONG BINA RUMAH GURU DI SK NANGOH KERANA KEKURANGAN PERUNTUKAN

Ibu Bapa Dan Guru Gotong-royong Bina Rumah Guru Di SK Nangoh

BELURAN, 9 April (Bernama) -- Bagi mengatasi kekurangan rumah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Nangoh dekat sini, ibu bapa murid dan guru di kampung itu mengambil inisiatif bergotong-royong menyiapkan kerja membina sebuah rumah guru.

Penolong kanan sekolah itu Mahmud Ahmad berkata inisiatif gotong royong itu dibuat bagi menjimatkan peruntukan membina rumah guru itu yang diterima daripada Pejabat Pendidikan Daerah Beluran daripada segi penjimatan kos buruh.

"Berdasarkan jumlah peruntukan yang diberikan hanya cukup untuk kos membeli barang pembinaan, kami melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru sepakat melakukan kerja membina rumah guru ini melalui gotong-royong," katanya ketika ditemui Bernama di sekolah itu.

Kerja membina rumah itu dimulakan semalam dan dijangka mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Menurut Mahmud hanya terdapat dua rumah guru di sekolah itu dan ia tidak mencukupi keperluan guru yang mengajar di sekolah itu yang berjumlah 20 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan