Sabtu, Januari 21, 2012

SEJARAH TV MALAYSIA SABAH @ RANGKAIAN KETIGA

KEWUJUDAN SIARAN TV DI SABAH

image Dalam merangka Rancangan Malaysia Pertama (1965-1970), penubuhan TV di Sabah tidak dimasukkan dalam perancangan tersebut. Disebabkan perkembangan pembangunan yang berlaku pada masa itu terlalu cepat dan di luar jangkaan, maka keperluan untuk mengadakan saluran TV di negeri ini mula dirasai dan ini menyebabkan Kerajaan mengubah rancangan asal dan membawa ke hadapan rancangan tersebut.

image Kajian persediaan mengenai kemungkinan dapat menubuhkan perkhidmatan televesyen untuk Sabah telah disediakan oleh seorang pakar dari Kanada, Mr. G. F. Brickenden pada 4 Mei 1964. Walaupun kajian yang terperinci ini sudah siap namun projek ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan masalah kewangan dari Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab ke atas perlaksanaannya. Bagaimanapun pada bulan November 1967 rancangan ini telah mendapat perhatian yang lebih bermakna daripada Ketua Menteri Sabah, YAB Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, bila beliau mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk membiayainya.

Penubuhan saluran TV akhirnya berjaya diperkenalkan di Negeri Sabah atas dorongan kuat daripada Ketua Menteri Sabah dan pada 18 Januari 1969 Kerajaan Negeri mengumumkan 'Lampu Hijau' untuk memulakan projek tersebut.

Kompleks TV ini merupakan bangunan-bangunan lama bekas wad rumah sakit Kelas Pertama yang dibina oleh Kerajaan British selepas perang sehinggalah tahun 1956 apabila rumah sakit berpindah ke bangunan yang baru, bangunan-bangunan lamanya terus dijadikan rumah kediaman kakitangan Kerajaan sehinggalah kawasan ini diambil sebagai kompleks TV sementara.

Pelancaran Perkhidmatan TV di Sabah

Perkhidmatan siaran TV di Sabah akhirnya dapat dilancarkan secara rasminya pada 28 Disember 1971 dan dikenali sebagai TV Malaysia Sabah. Siaran ini telah mencahayakan tempat-tempat kediaman dan juga hati masyarakat Sabah. Sebagaimana Radio, TV telah menjadi 'peti ajaib' yang dimestikan ada oleh setiap keluarga. Perkhidmatan ini juga merupakan satu lagi perkembangan dari segi perhubungan di negeri ini dan penubuhannya amat penting sekali sebagai alat yang dapat memberikan pelajaran, pengetahuan, perpaduan negara di samping menjadi alat penghibur utama. TV juga memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk lebih bergiat dan menonjolkan, dapat mendedahkan seni budaya suku kaum sebagai langkah ke arah pembangunan satu kebudayaan bangsa Malaysia yang bersatu.

RANCANGAN-RANCANGAN SIARAN DALAM HITAM PUTIH

TV Malaysia Sabah mengendalikan kedua-dua perkhidmatan siaran dan penerbitan rancangan-rancangan tempatan. Semua rancangan disiarkan dari studio di Kota Kinabalu dan dipancarkan ke seluruh Sabah dalam hitam putih iaitu melalui saluran-saluran berikut:-

map_sabah_bSaluran 10 - Kawasan Pantai Barat
Saluran 9 - Kawasan Kudat, Tawau dan Pedalaman
Saluran 8 - Kawasan Sandakan
Saluran 7 - Kawasan Lahad Datu dan Semporna

TV MALAYSIA RANGKAIAN NASIONAL MEMANCAR KE SABAH DAN SARAWAK

Pada mula TV diperkenalkan di Sabah rangkaian ini dikenali sebagai TV Malaysia Sabah dan hanya meliputi negeri Sabah Sahaja. Jumlah masa siaran ketika itu ialah 35 jam seminggu yang memulakan siaran dari pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari.

Dengan adanya kemudahan satelit Bumi di Tampasak Kinarut Sabah, Satelit Bumi Kuantan dan Satelit Angkasa di Lautan Hindia, siaran TV dari Kuala Lumpur boleh diterima di Sabah dan Sarawak. Siaran TV Rangkaian Nasional ke Sabah dan Sarawak ini dilancarkan secara rasminya pada 30 Ogos 1975. Dengan pelancaran ini negeri Sarawak telah dapat menikmati siaran TV buat kali pertama. TV Malaysia Kota Kinabalu pula ditukar nama menjadi TV Malaysia Rangkaian Ketiga.

SIARAN DARI TV MALAYSIA RANGKAIAN KETIGA DIHENTIKAN

Perkembangan dalam bidang penyiaran TV di Malaysia begitu pesat sekali, siaran Rangkaian Nasional mula menyiarkan rancangan-rancangan dalam warna pada tahun 1978. Pada 31 Ogos 1983 siaran TV Malaysia Rangkian Kedua dapat diterima ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Dengan adanya siaran dua rangkaian dari Kuala Lumpur siaran dari Rangkaian Ketiga akhirnya dihentikan pada pertengahan tahun 1985. Kini stesen televesyen di Kota Kinabalu menjadi pusat penerbitan rancangan-rancangan tempatan untuk disiarkan melalui rangkaian satu dan dua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan