Khamis, Oktober 06, 2011

JPN MENJELASKAN KOD NEGARA "71" YANG TERDAPAT DALAM NOMBOR PENGENALAN DIRI DIGUNAKAN MULAI 1990

JPN Perjelas Isu Pengeluaran Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengeluarkan kad pengenalan palsu yang kononnya terdapat dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia turut berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan pengeluaran kad pengenalan kerana JPN hanya mengeluarkan kad berkenaan kepada mereka yag benar-benar layak berdasarkan peruntukan perundangan negara.

"Adalah ditegaskan bahawa JPN tidak pernah mengeluarkan kad pengenalan palsu dan sebaliknya hanya membekalkan rekod sahih sahaja kepada SPR untuk tujuan semakan identiti daftar pemilih," kata JPN dalam satu kenyataan Khamis.

Dewan Pemuda PAS baru-baru ini dilapor telah menghantar memorandum kepada JPN mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan penyelewengan pengeluaran kad pengenalan membabitkan dua perkara utama iaitu penggunaan kod negara "71" dan kad pengenalan palsu dalam DPI.

JPN berkata dakwaan yang dibuat pihak berkenaan melalui memorandum itu adalah tidak benar.

Menjelaskan isu individu yang didakwa mempunyai nama yang sama dan memiliki nombor kad pengenalan hampir sama, JPN berkata rekod jabatan menunjukkan sembilan daripada 10 nama disahkan merupakan individu berlainan berdasarkan gambar dan cap jari yang berbeza.

"Mereka mempunyai persamaan hanya pada nama dan tarikh lahir sahaja. Individu ke-10, Azinah binti Mohd Fazin (800820-02-5150) tiada rekod di jabatan ini," kata kenyataan itu.

JPN menjelaskan kod negara "71" yang terdapat dalam nombor pengenalan diri digunakan mulai 1990, dan pada masa itu kod khusus bagi setiap negara luar masih belum diwujudkan dengan hanya kod negara 71 diguna pakai bagi semua kelahiran warga Malaysia dan pemastautin tetap Malaysia di luar negara.

"Mulai 2001, kod negara secara khusus bagi pengenalpastian negara kelahiran individu diwujudkan bertujuan membezakan kod kelahiran individu di luar negara," kata JPN, sambil menambah nombor pengenalan diri yang dikeluarkan menggunakan kod negara 71 sebelum ini, adalah sah dan terpakai bagi pemilik sedia ada.

Nombor pengenalan diri 12 digit pada kad pengenalan mula digunakan pada 1990 dan merupakan kombinasi antara tarikh lahir, kod negeri/negara tempat lahir serta nombor siri janaan komputer bagi menjadikan nombor tersebut unik dan tiada pertindihan.

Senarai kod-kod negara luar yang dimaksudkan boleh dilayari melalui portal rasmi JPN, www.jpn.gov.my.

13 ulasan:

  1. Ya, kod ini sememangnya digunakan untuk warga negara yang lahir di negara lain.

    BalasPadam
  2. Harap penjelasan ini dapat diterima oleh mereka yang meggesa sebelum ini.

    BalasPadam
  3. penjelasan dah diberikan, harp semua pihak faham.

    BalasPadam
  4. jadi hal ini tak perlu lagi nak dijadikan isu.

    BalasPadam
  5. Selagi RCI tidak ditubuhkan, akan timbul pelbagai spekulasi.

    BalasPadam
  6. Saya baru tahu kod 71 untuk mereka yang lahir di luar negara pula.

    BalasPadam
  7. penjelasan ini mungkin menjawab soalan berkaitan isu tersebut.

    BalasPadam
  8. jadi penggunaan kod 71 ini sudah pun difahami..

    BalasPadam
  9. memang mengeliru dan meragukan kalau tiada penjelasan.

    BalasPadam
  10. JPN perlu pastikan semua maklumat sentiasa update dalam sistem. nanti menimbulkan kesukaran pula bila pilihanraya.

    BalasPadam
  11. Penjelasan ni rasanya telah menjawab segala persoalan mengenai individu mempunyai 2 kad pengenalan.

    BalasPadam
  12. pemimpin2 Pakatan seperti Azizah, Azmin dan Saiffuddin juga menggunakan kod 71.. bukan setakat layak mengundi, malah layak untuk menjadi pemimpin atau mungkin menjawat jawatan kabinet sekiranya berjaya merampas kerajaan..

    BalasPadam
  13. Jadi jangan ingat JPN buat kod sendiri sesuka hati. Kod itu adalah sah.

    BalasPadam