Khamis, Mac 18, 2010

"... ADAKAH KITA GEMAR AGAMA INI (ISLAM) KEKAL DAN CANTIK KALAU IA KEKAL JUMUD DAN SEMPIT?"

Undang-undang Keluarga Islam Malaysia Wajar Dikaji Semula - Mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kajian menyeluruh wajar dilakukan terhadap Undang-undang Keluarga Islam Malaysia dan aspek perundangan Islam yang lain di negara ini setelah ia dikuatkuasakan selama ini, kata Mufti Kerajaan Perlis Dr Juanda Jaya.

Beliau berkata adalah amat sedih jika kesan perundangan itu akan menyebabkan imej Islam yang luhur akan tercalar, sedangkan perundangan diwujudkan bagi memperkasakan imej agama yang suci.

"Bukankah kita mampu mentadbir soal nikah cerai, talak di luar mahkamah, poligami, kahwin ahli kitab dan sebagainya. Mengapakah soal kahwin kanak-kanak ini tidak dimasukkan dalam bidang perkara harus yang boleh disekat oleh pihak berkuasa (mahkamah)?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai pernikahan dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun masing-masing dengan lelaki berusia 40 dan 41 tahun di Kelantan baru-baru ini.

Juanda, yang juga Felo Tamu di Pusat Kajian Islam Universiti Oxford, berkata ruangan hukum syarak cukup luas untuk menguruskan urusan manusia namun perkara yang wujud keluasan dalam agama pula telah disempitkan.

"Atau adakah kita gemar agama ini kekal dan cantik kalau ia kekal jumud dan sempit?" tanya beliau.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk masyarakat yang benar-benar mengambil berat mengenai isu ini untuk sama-sama terlibat dalam perbincangan bagi menjaga masa depan umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan