Lapan Pelajar Sekolah Menengah Didapati Positif Dadah
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Ujian air kencing yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ke atas pelajar di lima buah sekolah menengah di daerah Gombak dekat sini mendapati lapan pelajar didapati positif dadah.
Ketua Pengarah AADK Datuk Abd Bakir Zin berkata pihaknya telah menjalankan ujian saringan dadah di sekolah-sekolah berkenaan pada minggu lepas selepas mendapat maklumat daripada pihak sekolah.
"Kita telah melakukan ujian air kencing terhadap 200 pelajar dan didapati lapan pelajar adalah positif dadah, kita tidak melakukan ujian itu kepada semua pelajar sebaliknya kepada mereka yang disyaki saja, biasanya mereka yang menghisap rokok," katanya kepada pemberita selepas melawat AADK Daerah Gombak di sini, Khamis.
Katanya pelajar terbabit akan diberikan kaunseling di bawah program intervensi pelajar AADK.
Sementara itu, beliau berkata Gombak merupakan kawasan 'panas' yang menjadi tumpuan AADK untuk membasmi gejala penagihan dadah.
"Di daerah Gombak terdapat 7 hot spot melibatkan 12 kawasan dengan 155 OKP (Orang Kena Pengawasan), di mana mereka ini perlu diberi pengawasan lebih dari pihak AADK " katanya.
Dua belas kawasan berkenaan termasuklah Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Bandar Country Homes, Taman Sri Gombak dan Kampung Wira Damai.
Beliau berkata AADK akan mengadakan program berterusan seperti khidmat kaunseling, melakukan ujian air kencing dan khidmat masyarakat yang turut membabitkan golongan OKP.
---
Pelajar Antara Ditahan Dalam Kes Curi Motosikal
TUMPAT, 11 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar institusi kemahiran adalah antara lapan orang yang ditahan Rabu kerana disyaki terlibat dengan kegiatan curi motosikal sekitar jajahan Tumpat melibatkan kerugian RM110,000.
Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Khalid Munap berkata pelajar berkenaan ditahan bersama kumpulan dikenali sebagai 'Geng Nuar'.
"Kesemua lelaki berkenaan yang berumur antara 18 hingga 27 tahun itu ditahan sekitar kawasan Tumpat dan dengan penangkapan itu kita percaya sebanyak 30 kes kecurian motosikal dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Khalid berkata bahawa Selepas mencuri motosikal berkenaan mereka akan membuang kerangkanya ke sungai manakala enjin akan dijual kepada orang tengah dengan harga RM350 hingga RM400 untuk dipasangkan pada motosikal lama.
Katanya polis menjumpai lapan kerangka motosikal dalam sungai serta enam buah motosikal yang digantikan dengan enjin curi.
"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa kumpulan lagi yang terlibat dengan kegiatan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan