Ahad, Januari 03, 2010

SATU-SATUNYA CARA UNTUK MEMINTA TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH DATUK SERI JOSEPH PAIRIN KITINGAN MELEPASKAN KEDUDUKANNYA SEBAGAI ANGGOTA PARLIMEN KENINGAU IALAH DENGAN MENENTANGNYA PADA PILIHAN RAYA AKAN DATANG,

Pairin Tak Perlu Kosongkan Kerusi Hanya Kerana Desakan DAP, Kata Ongkili

imageKOTA KINABALU, 3 Jan (Bernama) -- Satu-satunya cara untuk meminta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan melepaskan kedudukannya sebagai Anggota Parlimen Keningau ialah dengan menentangnya pada pilihan raya akan datang, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Mengulas gesaan DAP negeri ini agar Pairin, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tambunan, melepaskan jawatannya sebagai Anggota Parlimen, Ongkili berkata Pairin dipilih oleh rakyat dan beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

"Saya berpendapat mereka tidak wajar membuat gesaan itu. Mungkin, hanya pada hari tertentu, beliau tidak hadir di Parlimen, tapi beliau tetap memainkan peranannya secara strategik melalui rangkaiannya, melalui jawatannya sebagai timbalan ketua menteri.

"Jawatan Anggota Parlimen yang disandangnya membantu beliau memantapkan segala rangkaian yang perlu dilakukannya di peringkat negeri dan persekutuan.

"Jadi, ia tidak menjejaskan tugasnya di peringkat negeri. Yang perlu beliau lakukan ialah sentiasa meningkatkan usahanya dan oleh kerana perkara ini telah beliau lakukan dengan amat baik, saya tidak nampak kenapa DAP perlu menyibuk dengan urusan beliau," kata Ongkili pada majlis perjumpaan dengan media anjuran kementeriannya di sini malam Sabtu.

image Pada malam menjelang Tahun Baru, naib Pengerusi DAP Sarawak Edward Ewol Mujie dan setiausaha publisiti parti itu Dr Edwin Bosi meminta Pairin, 70, yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), supaya melepaskan kedudukannya sebagai Anggota Parlimen dengan alasan Pairin mempunyai terlalu banyak tanggungjawab sebagai Adun, timbalan ketua menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri.

Ongkili, yang juga timbalan presiden PBS, berkata Pairin telah dipilih secara adil oleh rakyat Keningau sebagai wakil mereka.

"Dan mengenali Datuk Pairin, beliau seorang yang amat bertanggungjawab terhadap apa jua jawatan yang diberikan kepadanya. Beliau akan memanfaatkannya secara maksimum demi kebaikan rakyat," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan