Khamis, Januari 21, 2010

"…, ADA SESUATU YANG BERLAINAN DAN KHUSUS YANG TERDAPAT HANYA DI SABAH DAN SARAWAK, IA TIDAK SEHARUSNYA DIABAIKAN. JIKA INGIN MELIHAT PELAKSANAAN INI BERJAYA, PERLU SESUAIKAN PROGRAM ITU SUPAYA IA DAPAT MEMENUHI KEPERLUAN DI KEDUA-DUA NEGERI INI,"

Enam Minggu Untuk Bentuk Program NKRA Khusus Buat Sabah Dan Sarawak

image KOTA KINABALU, 21 Jan (Bernama) -- Sebuah makmal khusus bagi menampilkan cadangan-cadangan mengenai cara bagaimana kerajaan dapat membentuk program-program dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memenuhi keperluan bumiputera di Sabah dan Sarawak akan mula dibangunkan bulan depan, yang dijangka mengambil masa selama enam minggu untuk disempurnakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) Senator Datuk Seri Idris Jala berkata makmal bumiputera itu akan menimbangkan semua isu yang membabitkan kaum bumiputera di kedua-dua negeri itu, berdasarkan kajian yang dilaksanakan di seluruh negara.

"Dengan cara ini agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri akan sepakat dan menampilkan tindakan mengikut satu reka bentuk yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan peringkat negeri yang berlangsung selama dua hari di sini Khamis.

Enam NKRA itu merujuk kepada usaha mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu, meningkatkan taraf hidup isu rumah berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar, dan menambah baik pengangkutan awam bandar.

Minggu lepas semasa di Kuching, Sarawak, Idris dilaporkan berkata Sabah dan Sarawak akan mempunyai model pembangunan tersendiri dengan penubuhan sebuah makmal khusus untuk membuat pengubahsuaian bagi membolehkan program-program itu dilaksanakan dengan lebih berkesan di dua negeri berkenaan.

Idris berkata konsep itu dilihat mencapai hasil yang lebih efektif semasa ia diguna pakai dalam kes membabitkan masyarakat Orang Asli.

"Seperti yang saya katakan sebelumnya, keadaan yang sama boleh dilihat kepada kaum bumiputera, ada sesuatu yang berlainan dan khusus yang terdapat hanya di Sabah dan Sarawak, ia tidak seharusnya diabaikan. Jika ingin melihat pelaksanaan ini berjaya, perlu sesuaikan program itu supaya ia dapat memenuhi keperluan di kedua-dua negeri ini," katanya.

"Beruntung mempunyai Ketua Menteri di sini, di Sabah ini yang benar-benar komited dengan idea ini, dan juga seorang Ketua Menteri di Sarawak yang mengakui bahawa ia adalah idea yang bagus untuk melaksanakan konsep program ini," tambahnya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melancarkan Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan hari ini, yang membolehkan masyarakat mendapatkan segala maklumat mengenai program-program NKRA itu.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga pengerusi Lembaga Pemandu Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Koh berkata saiz makmal bumiputera dijangka dua kali ganda lebih besar daripada makmal biasa yang dikhususkan untuk 30 orang, dan ia mengandungi kira-kira 20 pegawai kanan, masing-masing dipilih dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pemandu memantau pelaksanaan dan menilai kemajuan inisiatif Program Transformasi Kerajaan, di mana lebih 2,000 projek dan 100 program sudah dikenal pasti untuk enam NKRAs berkenaan.

 

Kos Pembinaan Sekolah Di Sarawak, Sabah Dikurangkan Hasil Program NKRA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan