Jumaat, Disember 11, 2009

PERTUDUHAN UTAMA KES PECAH AMANAH PKFZ

KLANG, 10 Dis (Bernama) -- Berikut ialah antara pertuduhan utama dalam kes pecah amanah berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C.Phang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM254.84 juta.

Tuduhan keatasnya ialah seperti berikut:-

PERTUDUHAN 1

Bahawa kamu, di antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005 di Lembaga Pelabuhan Klang, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di dalam Daerah Klang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan sebagai seorang ejen iaitu Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang dan dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana di dalam akaun Disbursement no. 21423100033928 di RHB Bank Berhad, Plaza OSK, Jalan Ampang Kuala Lumpur berjumlah RM98,700,000.00 telah melakukan pecah amanah jenayah berkenaan dengan harta tersebut dan oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

PERTUDUHAN 2

Bahawa kamu, di antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 di Lembaga Pelabuhan Klang, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di dalam Daerah Klang, di dalam Negeri Selangor Draul Ehsan sebagai seorang ejen iaitu Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang dan dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana di dalam akaun Disbursement No.21423100033928 di RHB bank Berhad, Plaza OSK, Jalan Ampang Kuala Lumpur berjumlah RM21,600,000.00 telah melakukan pecah amanah jenayah berkenaan dengan harta tersebut dan oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

PERTUDUHAN 3

Bahawa kamu, di antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006 di Lembaga Pelabuhan Kelang, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di dalam daerah Klang, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan sebagai seorang ejen iaitu Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang dan dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana di dalam akaun Disbursement No. 21423100033928 di RHB Bank Berhad, Plaza OSK, Jalan Ampang Kuala Lumpur berjumlah RM134,550,000 telah melakukan pecah amanah jenayah berkenaan dengan harta tersebut dan oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

image image Dua orang lagi yang turut menghadapi tuduhan itu ialah Steven Abok, ketua pegawai operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor projek itu dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee daripada BTA Architect, perunding projek berkenaan.

Mereka didakwa bersama terhadap dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan RM5.42 juta.

Tuduhan ke atas mereka ialah seperti berikut:-

PERTUDUHAN 1

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan menipu Lembaga Pelabuhan Klang iaitu dengan memperdayakan Lembaga Pelabuhan Klang untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi Port Klang Free Zone Development, Pulau Indah, Mukim Klang, Selangor, telah dilaksanakan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Notice of Payment N0.14 bertarikh 31 Julai 2007 pada 31 Julai 2007, sedangkan kamu mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan dan oleh itu kamu telah dengan curangnya mendorong Lembaga Pelabuhan Klang untuk mengesahkan pembayaran sebanyak RM4,080,000.00 kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd pada 6 Ogos yang mana LPK tidak akan memberi pengesahan tersebut sekiranya LPK tidak diperdayakan sedemikian dan oleh yang demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

PERTUDUHAN 2

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan menipu Lembaga Pelabuhan Kelang iaitu dengan memperdayakan Lembaga Pelabuhan Klang untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi Port Klang Free Zone Development, Pulau Indah, Mukim Klang, Selangor, telah dilaksanakan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Notice of Payment no.16 bertarikh pada 28 Sept 2007, sedangkan kamu mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan dan oleh itu kamu telah dengan curangnya mendorong LPK untuk mengesahkan pembayaran sebanyak RM1,337,000 kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd pada 8 Okt yang mana LPK tidak akan memberi pengesahan tersebut sekiranya LPK tidak diperdayakan sedemikian dan oleh yang demikian telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan