Isnin, Disember 07, 2009

LIMA 2009 TIDAK MELAHIRKAN PERKEMBANGAN YANG DIHARAPKAN UNTUK TLDM DAN TUDM DISEBABKAN KESAN DARIPADA KRISIS KEWANGAN GLOBAL

LIMA Tidak Ada Impak Diharapkan Bagi TLDM Dan TUDM

Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 tidak melahirkan perkembangan yang diharapkan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Disebabkan kesan krisis kewangan global, kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi pertahanannya yang memaksa negara menangguhkan beberapa pemerolehan senjata utamanya.

Salah satu perjanjian yang dijangka dimeterai semasa edisi LIMA tahun ini tetapi tidak menjadi kenyataan, membabitkan kontrak kerajaan untuk membeli helikopter mencari dan menyelamat (CSAR) Eurocopter EC-725 Cougar Combat.

Kerajaan menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan perlu mengkaji kemampuan kewangannya.

"Kita akan mengkaji daripada aspek kemampuan kewangan (untuk pembelian helikopter itu)," katanya kepada pemberita pada hari kedua LIMA 2009 yang berlangsung selama lima hari bermula Selasa lepas dan berakhir Sabtu.

Bagaimanapun, Najib berkata bahawa helikopter Cougar buatan Perancis itu adalah pesawat paling tinggi pencapaian dan jenis terbaik untuk menggantikan helikopter Nuri TUDM yang telah lama.

Dengan keputusan untuk menangguhkan pembelian Cougar, kerajaan menurut beberapa sumber boleh memilih untuk menaik taraf helikopter Nuri dan membolehkan pesawat TUDM itu digunakan sehingga 2025.

Langkah-langkah berjimat cermat yang diambil kerajaan bukan hanya memberikan kesan kepada TUDM tetapi juga TLDM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan