KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Cadangan untuk membina laluan baru yang menghubungkan Telipok-Kiulu-Randagong-Ranau sepanjang kira-kira 150km, telah pun dikemukakan kepada kerajaan persekutuan untuk pertimbangan mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah John Anthony berkata laluan itu akan menjadi jalan alternatif kepada laluan sedia ada antara Tamparuli dan Ranau. Anggaran awal kos projek itu berjumlah RM350 juta.
"Jalan ini merupakan jalan satu lorong dua hala... ia terletak di tanah yang rendah dan kami berpendapat tanah akan stabil, jadi kurang terdedah kepada tanah runtuh.
"Jika projek ini diluluskan, ia akan mengambil masa kira-kira empat tahun untuk disiapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kualiti jabatan berkenaan di sini Khamis.
John diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun pada Selasa lepas bahawa terdapat keperluan segera untuk pembinaan laluan baru antara Kota Kinabalu dan Ranau, terutamanya bagi memenuhi permintaan industri pelancongan.
Masidi membuat kenyataan itu berikutan kejadian tanah runtuh di km65 jalan Kota Kinabalu-Ranau pada Selasa lepas yang mengakibatkan beratus-ratus kenderaan terkandas.
Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 1 pagi dan meliputi laluan sejauh 100 meter di jalan lereng bukit tidak jauh dari jalan ke Taman Negara Kinabalu berhampiran Kundasang. Bagaimanapun, tiada sesiapa pun yang cedera dan tiada kerosakan harta benda akibat kejadian itu.
Mengenai perkembangan kerja-kerja pembersihan tanah runtuh, John berkata pergerakan tanah yang aktif masih ada namun mereka berharap dapat menyelesaikan kerja-kerja pembersihan itu menjelang esok petang.
"Kami telah pun membuka satu lorong kepada lalu lintas tetapi mulai Khamis kami akan membina lencongan sejauh 1.5 meter," katanya.
Ditanya sama ada terdapat rancangan untuk mencari penyelesaian kekal bagi kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh, beliau berkata pemantauan berterusan dijalankan di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh serta berisiko tinggi dan langkah pencegahan akan diambil jika perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan