Ahad, Disember 20, 2009

"SYER KERAJAAN DALAM GLC AKAN DITAWARKAN DI BURSA MALAYSIA UNTUK DIMILIKI OLEH SYARIKAT SWASTA. INI MERUPAKAN INISIATIF YANG DIAMBIL UNTUK MENINGKATKAN KECAIRAN,"

Kerajaan Kurangkan Pegangan Syer Dalam GLC Pada 2010

IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Semua syer milik kerajaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dikurangkan mulai tahun depan bagi menambah kecairan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata langkah tersebut yang melibatkan 17 GLC di bawah Kementerian Kewangan merupakan antara pendekatan yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang sebanyak lima peratus pada 2010.

"Syer kerajaan dalam GLC akan ditawarkan di Bursa Malaysia untuk dimiliki oleh syarikat swasta. Ini merupakan inisiatif yang diambil untuk meningkatkan kecairan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak 9-Sebelah Veteran anjuran Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada hari Ahad.

Beliau berkata langkah itu merupakan gelombang kedua kepada penswastaan syarikat milik kerajaan bagi memantapkan dan mencapai sasaran perkembangan ekonomi seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu Anggota Parlimen Tambun itu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua ketua editor media massa dalam masa terdekat untuk menjelaskan cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) agar media dapat memberi kefahaman kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan